PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan berusia 18, disyaki menjadi mangsa terbaharu sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar, selepas terpedaya dengan tawaran kerja kumpulan berkenaan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya mengesyaki mangsa dibawa menggunakan jalan tikus melalui Thailand untuk ke Myanmar.
Katanya, ini kerana, remaja itu tidak mempunyai pasport yang sah, ekoran bapa mangsa tidak membenarkan anaknya berbuat demikian kerana masih muda.
“Kedua-dua ibu bapa mangsa melaporkan kehilangan anak mereka di balai polis, setelah mendapat berita anaknya tidak bersama makciknya di Johor. Malah, gadis tersebut juga tidak dapat dihubungi.
“Kemudian, mangsa menghubungi ibu bapanya dan menyatakan tempoh tawaran kontrak kerja yang diterimanya di Myanmar hanyalah setahun,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Bagaimanapun katanya, setelah genap setahun, mangsa menghubungi ibu bapanya mengatakan dia tidak dapat balik dan ditahan kumpulan berkenaan.
“Remaja tersebut diminta membayar RM40,000 jika ingin berhenti kerja dan balik ke Malaysia. Dia turut diugut menggunakan kekerasan dan dikurung di bilik gelap,” katanya.
Ibu mangsa yang ingin dikenali sebagai Risdawati, 42, berkata, dia bersama suami, Ong Bee Chon, 58, pemandu lori, tidak mampu menyediakan wang tersebut dan pernah meminta pertolongan daripada ahli keluarga serta kenalan terdekat, namun gagal.
Risdawati berkata, pada mulanya, anak sulungnya daripada tiga beradik itu, ingin mengikuti kawan bekerja di Singapura bagi mengisi masa lapang setelah tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kemudian anak saya berkata, dia menerima tawaran kerja sebagai penyambut tetamu di sebuah kilang di Johor, dan kami membenarkan dia bekerja di situ ekoran kakak saya (makcik mangsa) menetap di sana,” katanya.
Jelasnya, selepas seminggu dia dihubungi kakaknya, apabila anaknya itu tidak lagi bekerja di kilang yang dinyatakan.
Dia kini tidak dapat menghubungi anaknya itu.