Realisasikan LTU Karak-Simpang Pelangai - Utusan Malaysia

Realisasikan LTU Karak-Simpang Pelangai

MOHAMAD ZAINI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kerajaan diminta meneruskan pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) pakej enam menghubungkan Pekan Karak ke Simpang Pelangai di sini seperti mana dirancang sebelum ini.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, besar harapan penduduk terutama di Simpang Pelangai yang mahu melihat projek pembangunan itu direalisasikan.

Beliau berkata, pembinaan lebuhraya berkenaan akan memberikan manfaat besar kepada penduduk setempat sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan.

“Saya mewakili ahli serta masyarakat setempat dalam daerah Bentong memberikan sokongan penuh kepada kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail khususnya berkaitan pembinaan LTU pakej enam yang menghubungkan persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT)-Pelangai dapat diluluskan bagi melengkapkan jaringan LTU.

“Atas dasar kepentingan masyarakat secara umum khususnya bagi penduduk dalam kawasan mukim Pelangai, pembinaan lebuhraya itu perlu diteruskan seperti mana dirancang sebelum ini,” katanya di sini.

Semalam, Wan Rosdy dilaporkan sebagai berkata, kerajaan Pahang melahirkan rasa terkilan apabila pembinaan hentian rehat dan rawat (R&R) yang merupakan komponen penting di LTU tidak dilaksanakan walaupun terdapat dalam skop projek.

Kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap pentingnya pakej enam iaitu laluan Persimpangan LPT-Pelangai dapat diluluskan bagi melengkapkan jaringan LTU.

Sehingga kini, empat laluan di sepanjang LTU sudah pun dibuka iaitu laluan Bentong Bypass, laluan Kampung Orang Asli Sungai Chandan-Kampung Asap, laluan Raub Bypass dan laluan Mentara-Kampung Seberang Jelai dengan kemajuan projek keseluruhan 66.01 peratus setakat ini.

LTU sepanjang 299.4 kilometer melibatkan enam pakej pembinaan dengan kos keseluruhan RM7.7 bilion. Projek laluan baharu yang dijangka siap menjelang akhir tahun 2026 itu memberikan banyak manfaat kepada rakyat khususnya pengguna jalan raya yang melalui Pahang Barat iaitu Bentong, Raub dan Lipis menuju ke Kelantan.

Mengulas lanjut, Mohamad Zaini berkata, beliau menggesa pihak berkenaan memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap kepentingan dalam pembinaan jalan raya tersebut.

“Kita menyokong penuh kenyataan Menteri Besar Pahang termasuk penyediaan R&R untuk keselesaan serta keselamatan pengguna secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN