PRR Tangga Batu mesra OKU

PRR Tangga Batu mesra OKU

NOOR ‘AINITA Md. Noor (kiri) menerima ciuman daripada anaknya, Muhammad Amirul Hakim Zaini ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci PRR Tangga Batu, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) kategori fizikal tidak menyangka penghantaran borang pada saat akhir membawa tuah apabila dia terpilih sebagai salah seorang penerima kediaman Projek Residensi Rakyat (PRR) Tangga Batu di sini.

Bagi Noor ‘Ainita Md. Noor, 54, lebih manis berita gembira itu diterimanya ketika dia sangat memerlukan sebuah rumah, selepas mendakwa pemilik rumah sewa telah memintanya berpindah sejak Ogos lalu.

Katanya, buat masa ini dia masih tinggal di rumah sewa itu bersama anak perempuannya berusia 25 tahun atas ihsan tuan rumah.

“Saya menyewa di Taman Pengkalan Indah sejak enam tahun lalu selepas berpindah dari Ipoh, Perak. Pada Jun, pemilik memaklumkan saya perlu mengosongkan rumah sewa pada Ogos tanpa memberitahu sebab sedangkan saya tidak pernah culas membayar sewa bulanan.

“Sejak itu saya berdoa setiap hari agar diberikan sebuah rumah dan minggu lalu pihak Lembaga Perumahan Melaka (LPM) memaklumkan saya terpilih untuk menyewa di PRR Tangga Batu. Saya memang tidak menyangka kerana borang pendaftaran dihantar pada saat akhir iaitu beberapa hari sebelum tarikh permohonan ditutup,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Penyerahan Kunci PRR Tangga Batu.

Tambah Noor ‘Ainita, unit diterimanya dikhaskan untuk OKU dan terletak di aras paling bawah bagi memudahkan pergerakannya yang menggunakan kerusi roda.

Dalam pada itu, seorang lagi OKU, Nursalihin Saleh, 48, berkata, dia bersyukur impian untuk menetap di kediaman sendiri akhirnya tercapai.

Menurutnya, ketika ini dia tinggal bersama isteri dan tiga anak di rumah pusaka milik ibu mentuanya di Pantai Puteri sejak hampir 20 tahun lalu.

“Perasaan terkejut dan gembira apabila diberitahu sebagai penerima unit OKU di PRR Tangga Batu. Memang menjadi impian saya untuk duduk bersama keluarga di rumah sendiri, tambahan pula pelbagai kemudahan disediakan dengan kadar sewa RM320 sebulan.

“Saya berharap dapat memiliki kediaman ini sebagai jaminan masa hadapan untuk isteri dan anak-anak berteduh sekiranya ditawarkan penukaran skim sewa kepada sewa beli kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya