Proses permohonan sijil halal 15 hari - Utusan Malaysia

Proses permohonan sijil halal 15 hari

AHMAD ZAHID Hamidi menyampaikan sijil halal kepada seorang penerima pada Program Halal On Track (HOT) Pahang Darul Makmur di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Daripada 23 hari sebelum ini, kerajaan terus menambah baik prosedur permohonan dan pembaharuan sijil halal dengan keputusan wajib diberikan dalam tempoh hanya 15 hari bekerja.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum ini kelulusan dan pengeluaran sijil halal dibuat dalam tempoh terlalu panjang sehingga sembilan bulan.

Beliau berkata, selepas itu, prosedur tersebut terus dipermudahkan oleh kerajaan menjadi enam bulan, tiga bulan dan 23 hari bekerja.

“Pelaksanaan tempoh baharu itu sudah dimulakan melibatkan kerjasama pelbagai pihak seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Halal Development Corporation (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan akademi halal.

“Sekarang sedang berjalan (15 hari), sebelum ini kita berjaya capai daripada sembilan bulan, enam bulan, tiga bulan dan selepas itu 23 hari,” katanya dalam sidang akhbar pada Program Halal On Track (HOT) Pahang Darul Makmur di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, setakat ini, Jakim sudah bekerjasama dengan lima institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyediakan juruaudit halal yang akan turut menjadi pegawai bagi menentukan piawaian halal dan ditempatkan di syarikat yang sudah pun  ada sijil halal.

Katanya, penambahan 100 juru audit halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 semalam antara usaha bagi membantu mempercepatkan prosedur kelulusan dan pengeluaran sijil halal.

“Ini bagi memastikan pensijilan berjalan lancar dan memenuhi permintaan. baik di dalam mahupun luar negara,” katanya.

Menurutnya, kerajaan dan pihak berwajib perlu bersama dalam mencipta ‘game changer’ untuk memacu industri halal negara, khususnya dalam aspek pensijilan halal.

“Kita perlu mendengar semua maklum balas dan menambahbaik proses pensijilan. Antara yang sering diutarakan dan dicadangkan adalah untuk mempercepatkan proses kelulusan dan mengurangkan kadar kegagalan permohonan,” katanya.

Beliau berkata, di peringkat domestik, data jelas menunjukkan peningkatan dalam permohonan sijil halal setiap tahun.

“Pada 2023, kita menerima 15,605 permohonan, meningkat daripada 14,977 pada tahun sebelumnya (2022). Sehingga September lalu, sebanyak 14,707 permohonan diterima dan saya percaya angka ini akan mencecah lebih 16,000 lebih-lebih lagi dengan usaha yang dilakukan seperti pelaksanaan HOT ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN