KUALA TERENGGANU: Primula Beach Hotel di sini muncul hotel pertama di Terengganu yang mencipta kelainan dengan mewujudkan projek tanaman fertigasi melon manis Terengganu (MMT) bermula pada Ogos lalu.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, pemilihan MMT untuk projek fertigasi itu kerana ia adalah buah rasmi negeri Terengganu yang diumumkan pada tahun 2015.
Menurutnya, projek itu juga adalah kesinambungan pengiktirafan yang diterima Primula Hotel Beach sebagai ‘Hotel Amalan Lestari Terbaik’ di Anugerah Industri Pelancongan 2024 di Kuala Lumpur pada Julai lalu.
“Projek fertigasi ini bertujuan mengurangkan kos pembelian sayur-sayuran atau buah-buahan dari luar.
“Hasil tanaman ini membolehkan kita menyediakan sayuran segar yang dipetik terus dari kebun ke dapur.
“Selain itu, usaha ini adalah selaras dengan inisiatif hotel dalam menyokong amalan hijau dan kelestarian dengan mengurangkan jejak karbon melalui penggunaan sumber tempatan dan mengurangkan sisa makanan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Buat permulaan, sebanyak 30 MMT telah ditanam dan hasil pertama dijangka boleh dituai dua minggu lagi.
Projek fertigasi itu juga mendapat khidmat bimbingan dan nasihat profesional daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi memenuhi matlamat Primula Beach Hotel untuk kelestarian yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan komuniti.
Mengulas lanjut, Suaibah berkata, MMT adalah buah istimewa kerana mempunyai kombinasi tekstur yang rangup, rona warna yang memukau, rasanya yang manis dan berkhasiat.