Prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan 2023 lebih baik

Prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan 2023 lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan mencatatkan prestasi kewangan lebih baik pada tahun lalu berbanding 2022 dengan peningkatan lebihan hasil berjumlah RM2.028 bilion dan penurunan defisit sebanyak RM8.595 bilion.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat hari ini, kedudukan itu menjadikan nisbah defisit negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun kepada 5.0 peratus pada 2023 berbanding 5.5 peratus pada  2022.

“Baki defisit Kumpulan Wang Pembangunan sejumlah RM10.217 bilion menunjukkan penurunan sejumlah RM1.734 bilion (14.5 peratus) berbanding RM11.951 bilion pada 2022.

“Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian terhadap trend peningkatan liabiliti persekutuan yang terdiri daripada hutang persekutuan dan liabiliti kewangan yang meningkat sejumlah RM92.038 bilion (6.6 peratus) kepada RM1.492 trilion berbanding RM1.400 trilion pada tahun 2022,” kata laporan itu.

Laporan Ketua Audit Negara itu mendedahkan, komitmen jaminan kerajaan Persekutuan terhadap 13 syarikat telah meningkat sejumlah 1.5 peratus tahun-ke-tahun kepada RM3.288 bilion pada tahun 2023 berbanding RM224.116 bilion pada tahun 2022.

Dalam pada itu, dividen yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan menunjukkan penurunan ketara sejumlah RM9.756 bilion (17.5 peratus) berbanding sejumlah RM55.815 bilion pada tahun sebelumnya.

Berhubung pengurusan liabiliti Persekutuan, laporan tersebut menunjukkan trend peningkatan dengan nisbah liabiliti Persekutuan kepada KDNK meningkat kepada 81.8 peratus berbanding 78.0 peratus pada tahun 2022.

Nisbah hutang Persekutuan kepada KDNK pada tahun 2023 pada kedudukan 64.3 peratus juga meningkat berbanding 60.2 peratus pada tahun 2022.

Nisbah statutori hutang kepada KDNK pula adalah 62.1 peratus pada tahun 2023 berbanding 57.5 peratus pada tahun 2022, menurut laporan itu.

“Jabatan Audit Negara (JAN) mengambil maklum inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan bagi memastikan pengurusan hutang Persekutuan yang berhemat, terutama menerusi pembaharuan fiskal dengan kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] di Parlimen pada 11 Oktober 2023.

“Kerajaan Persekutuan juga telah mengambil langkah rasionalisasi dan konsolidasi defisit secara berperingkat dengan unjuran defisit fiskal kepada 4.3 peratus kepada KDNK pada 2024,” katanya.

Bagi menambah baik prestasi kewangan kerajaan Persekutuan, Ketua Audit Negara mengesyorkan beberapa perkara untuk diambil perhatian.

“Kerajaan Persekutuan disarankan untuk meneruskan usaha meningkatkan hasil pendapatan melalui pelbagai sumber, meningkatkan tadbir urus dalam pengurusan perbelanjaan awam supaya kedudukan kewangan berada dalam keadaan lebih kukuh.

“Kerajaan Persekutuan juga perlu memastikan pengurusan hutang awam yang berhemat bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman baharu,” menurut laporan itu-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya