‘Port’ pelacuran warga asing Pelabuhan Klang diserbu - Utusan Malaysia

‘Port’ pelacuran warga asing Pelabuhan Klang diserbu

SERAMAI 58 warga asing ditahan JIM dalam serbuan pusat persundalan dekat Jalan Kem, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Lebih 20 premis yang dijadikan tempat persundalan oleh warga asing dekat Jalan Kem di Pelabuhan Klang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), hari ini.

Menerusi risikan pihak berkuasa itu selama lebih dua bulan, kira-kira 30 hingga 40 wanita dipercayai warga Indonesia dikenal pasti menjalankan aktiviti pelacuran di kawasan tersebut dengan menjadikan lelaki ‘hidung belang’ warga asing terutama Bangladesh sebagai sasaran pelanggan.

Bagaimanapun, dalam serbuan bermula pukul 12.30 tengah hari tadi, seramai 58 warga asing ditahan terdiri daripada 30 wanita dan 28 lelaki (dipercayai pelanggan) dari negara-negara seperti Bangladesh (16), Pakistan (satu ), Indonesia (31), India (lapan) dan seorang tidak dikenal pasti (stateless) ditahan pasukan JIM.

Timbalan Ketua Pengarah Operasinya, Jafri Embok Taha berkata, hampir kesemua premis terlibat merupakan bangunan terbiar dan diubah suai setiap unit kedai kepada empat hingga enam buah bilik kecil untuk dijadikan tempat aktiviti tidak bermoral.

“Risikan kita lakukan dalam dua hingga tiga bulan dan hari ini kita ambil tindakan. Premis di sini anggaran ada dalam 20 buah. Sebenarnya, bangunan itu dipecahkan kepada bilik-bilik tertentu yang mana mereka menyewa bilik tersebut mengikut kadar bulanan antara RM500 hingga RM600.

“Bilik-bilik itulah dijadikan mereka sebagai tempat untuk menawarkan aktiviti tidak bermoral itu. Sepanjang risikan, kita anggar dalam 30 ke 40 orang. Memang tumpuan dan sasaran pelanggan adalah warga asing.

“Premis tersebut merupakan bangunan terbiar yang mana pemiliknya memecahkan kepada jumlah bilik tertentu dan menyewa kepada warga asing yang menjalankan aktiviti tersebut. Masih ada pemiliknya lagi,” katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut.

Tambahnya, JIM menerima aduan terhadap aktiviti persundalan itu yang menawarkan perkhidmatan sekitar RM50 hingga RM100 bergantung kepada permintaan.

Dalam pada itu Jafri turut memaklumkan ketika serbuan terdapat cubaan warga asing melarikan diri, namun mereka akhirnya berjaya ditahan di sekitar premis tersebut.

“Pasukan membuat pemeriksaan menyeluruh di kawasan penempatan tersebut. Ada antara mereka bersembunyi di dalam bilik, tandas, bilik stor dan lain-lain.

“Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 61(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/53 kerana tiada dokumen dan tinggal lebih masa. Seramai 78 orang pegawai dan anggota JIM dari ibu pejabat di Putrajaya terlibat dalam operasi tersebut,” jelasnya.

Katanya lagi, kesemua tahanan akan dibawa ke Ibu pejabat JIM Putrajaya untuk saringan dan mereka yang dikenal pasti melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen akan di bawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Pekan Nenas, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya