Politeknik Ibrahim Sultan raikan 1,027 graduan

Politeknik Ibrahim Sultan raikan 1,027 graduan

SEJAK beroperasi pada 1998, PIS berjaya melahirkan hampir 38,000 graduan dalam pelbagai bidang hingga kini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 1,027 graduan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di Pasir Gudang, dekat sini akan menerima sijil, diploma dan ijazah sarjana muda masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Ke-29, hari ini dan esok.

Menurut Pengarah PIS, Ulaimi Yahya, graduan berkenaan terdiri daripada 25 penuntut ijazah sarjana muda, 959 diploma dan 43 sijil.

“Mereka terdiri daripada 281 graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), 353 graduan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), masing-masing 129 dan 264 graduan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) serta Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual (JRKV).

“Skrol kepada graduan bagi sesi pertama akan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, manakala sesi kedua oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Technology Development Corporation, Mohammad Hazani Hassan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada majlis tersebut, empat anugerah utama turut akan diberikan kepada penuntut terbaik, iaitu Anugerah Pengarah, Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, Anugerah Khas (Sukan) dan Anugerah Projek Terbaik.

Sejak beroperasi pada Jun 1998, PIS yang awalnya dikenali sebagai Politeknik Johor Bahru (PJB) kini telah melahirkan hampir 38,000 graduan dalam pelbagai bidang.

Nama PIS diisytiharkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 15 Disember 2011.

Nama PIS adalah sempena nama Almarhum Sultan Ibrahim Iskandar Al- Masyhur Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar atau dikenali sebagai Sultan Ibrahim II.

Terdapat enam jabatan utama di PIS, iaitu empat jabatan akademik, JKM, JKE, JRKV dan JPH serta dua jabatan sokongan akademik, Jabatan Pengajian Am (JPA) dan Jabatan Matematik, Sains & Komputer (JMSK).

Pada 25 Februari 2010, PIS telah mendapat pengiktirafan sebagai politeknik premier untuk menjadikan politeknik tersebut sebagai sebuah institusi pilihan dan setanding dengan universiti.

Dengan moto ‘Peneraju Ilmu Sejagat’, PIS kini mengorak langkah untuk menjadi sebagai sebuah institusi pendidikan yang dapat melahirkan modal insan yang bersifat holistik dan berkemahiran.

Pada masa ini PIS mempunyai seramai 3,031 penuntut, termasuk 938 pelajar baharu sesi 2024/2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya