Poligami: Usah jadikan anak tidak sah taraf

Poligami: Usah jadikan anak tidak sah taraf

RAHMAD Mariman (tengah) menyampaikan cenderahati kepada salah seorang panel Forum Sempena Sambutan Maulidur Rasul dan Ceramah Kekeluargaan di Auditorium Masjid al-Azim, Bukit Palah, Melaka. - UTUSAN/HADI AB. MANAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kes poligami tanpa kebenaran mahkamah di Melaka mengikut Seksyen 124 Enakmen Kesalahan Syariah 1991 menunjukkan trend peningkatan sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, sebanyak 28 kes sedemikian direkodkan setakat September tahun ini berbanding hanya 5 kes pada 2022.

Ujarnya, perkahwinan poligami yang tidak diiktiraf pihak berkuasa agama negeri akan menyebabkan anak-anak pasangan terlibat menjadi anak tidak sah taraf kerana tidak boleh dibinkan dengan nama bapa.

“Kita menyarankan supaya mana-mana mereka ini yang rasakan mereka ini berkemampuan, eloklah untuk mendapatkan kebenaran di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Melaka. 

“Insya-Allah di pihak mahkamah syariah kita akan membantu juga mempermudahkan proses ini. Kita tidak mahu apabila mereka ini berkahwin biasanya menggunakan konsep ‘minta maaf’ daripada ‘minta izin’. 

“Jadi akibatnya bila berlaku perkahwinan dan dalam perkahwinan tersebut mereka mendapat zuriat, zuriat itu tidak boleh dibinkan dengan nama bapa. Apatah lagi mereka berkahwin dengan warga asing, lagi bermasalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Forum Sempena Sambutan Maulidur Rasul dan Ceramah Kekeluargaan di Auditorium Masjid al-Azim, Bukit Palah di sini, hari ini.

Tambah Rahmad, isu anak tidak sah taraf disebabkan perkahwinan poligami tidak boleh dipandang ringan kerana terdapat beberapa pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini, tidak dapat diberikan anugerah kerana konflik berkenaan.

Jelasnya, bagi mempercepatkan proses permohonan kebenaran berpoligami, pihak mahkamah kini mengadakan perbicaraan di kamar hakim, bukan di galeri awam seperti sebelumnya. 

“Pengesahan pernikahan di mahkamah syariah ini penting supaya jelas nasib anak-anak mereka terbela pada masa akan datang. Kalau tidak nanti hendak bersekolah susah, hendak kerja susah. Bukan semua anak itu luar nikah tetapi sebenarnya tidak sah taraf kerana kesilapan ibu dan bapa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya