PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Pakistan, Nur Khan malam tadi dalam Lawatan Negara sehingga Jumaat.
Menurut Anwar, kunjungan itu bagi mengukuhkan lagi hubungan 67 tahun Malaysia-Pakistan yang telah terjalin ke tahap lebih baik.
“Usai tiba, saya dan delegasi disambut rakan sejawat Shehbaz Sharif dan peluang itu digunakan bagi menyatakan penghargaan di atas jemputan yang akan membuka lembaran baharu hubungan diplomatik kedua-dua negara selain mewujudkan agenda kerjasama pelbagai sektor di masa hadapan.
“Moga segala yang diatur pada lawatan ini akan berjalan lancar dan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk turut membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Kementerian Luar sebelum ini memaklumkan, pertemuan itu akan memberi peluang kedua-dua pemimpin menilai kerjasama sedia ada dan membincangkan inisiatif bagi memperkukuh hubungan Malaysia-Pakistan susulan peningkatan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik pada 2019.
Selain itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran dua dokumen antara Malaysia dan Pakistan.
Anwar juga dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, sebelum menghadiri jamuan negara yang dianjurkan oleh Presiden itu. – UTUSAN