PLKN 3.0 bermula Januari 2025

PLKN 3.0 bermula Januari 2025

ADLY Zahari membantu anggota tentera membaiki rumah ketika Projek Jiwa Murni (PJM) Peringkat Negeri di Durian Tunggal, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal bermula Januari ini secara berperingkat di 13 kem tentera terpilih membabitkan individu berusia antara 16 hingga 35 tahun.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sebanyak 13 kem tentera telah dikenal pasti antaranya di Kuala Lumpur dan Pahang bagi menempatkan para pelatih.

Jelasnya, bagi fasa pertama, pembabitan peserta ditetapkan adalah dalam skala kecil sebelum diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun 2025.

“Pada tahun hadapan, kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk memulakan PLKN 3.0. Kalau ikut perancangan awal (bermula) pertengahan 2025 tetapi terdapat keperluan untuk dilaksanakan lebih awal.

“Kita tumpukan di dua kem untuk dijadikan projek perintis PLKN 3.0 sebelum dilaksanakan secara lebih besar pada Jun tahun depan.

“Bagi pengambilan pertama ini, peserta akan ditempatkan di dua kem untuk kita pilot kan projek PLKN 3.0 ini yang akan membabitkan kira-kira 500 peserta sebelum dilaksanakan secara menyeluruh dengan bilangan lebih besar pada Jun tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Projek Jiwa Murni (PJM) Peringkat Negeri di Hutan Percha di sini, hari ini.

Pada Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan, PLKN 3.0 bakal bermula pada Jun atau Julai 2025.

Buat permulaan ia melibatkan fasa pra-PLKN di peringkat sekolah membabitkan pelajar tingkatan empat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dibuat sebagai persiapan menjalani latihan khidmat negara selepas mencapai umur 17 tahun.

Dalam pada itu, berkenaan PJM, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, sebanyak 10 rumah golongan asnaf dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibaik pulih dalam tempoh Januari hingga Oktober 2024 dengan peruntukan sebanyak RM138,500. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN