PASIR MAS: Batalion 8 Pasukan Gerakan (PGA) Pengkalan Kubor merampas pelbagai produk kosmetik bernilai RM94,500 seludup dari Thailand selepas menyerbu sebuah stor di kawasan pangkalan haram Jitong, di sini semalam.
Rampasan pukul 5.30 petang itu dilakukan menerusi rondaan rutin Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di sini.
Komandernya Datuk Ros Nik Ros Azhan Nik Ab. Halim berkata, semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah ternampak pintu sebuah stor di kawasan tersebut berada dalam keadaan terbuka.
“Pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan beberapa kotak yang mengandungi produk kosmetik dipercayai dari Thailand.
“Kita tidak menolak kemungkinan produk kosmetik ini diseludup masuk pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat dibawah Sek 7(1)(E) Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984.
Katanya, hasil rampasan diserahkan ke kompeni taktikal (Komtak) Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN