YAN: Lebih 100 pesawah yang menyertai Program Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) MADA 2, T17 dalam Kawasan Dulang Besar, di sini resah apabila tanaman padi mereka berisiko musnah setelah terendam banjir sejak Jumaat lalu.
Dakwa pesawah, kejadian banjir itu dipercayai berlaku selepas Sungai Dulang Besar yang terlibat dengan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) menjadi sempit menyebabkan air melimpah ke sawah.
Pesawah, Romli Hashim, 64, berkata, sawah seluas kira-kira 2.5 hektar yang diusahakannya ditenggelami air sedalam lebih setengah meter.
“Anak padi yang baru berumur tujuh hari ditenggelami air bercampur lumpur. Berdasarkan keadaan cuaca sekarang kemungkinan akan hujan lagi dan menambah limpahan air. Tanaman ini berisiko tinggi untuk mati jika terendam dalam masa lebih lama,” katanya di sini semalam.
Katanya, bagi musim penanaman padi yang lalu, dia memperoleh pendapatan agak lumayan sehingga mencecah RM5,000 untuk satu hektar.
“Musim ini belum tahu bagaimana kerana keadaan cuaca yang masih tidak menentu ketika ini,” ujarnya.
Seorang lagi pesawah, Bashah Din, 69, pula berkata, pokok padi yang baru tumbuh perlu pengawasan rapi serta tidak boleh terendam air dalam tempoh lama.
“Jika keadaan ini berlarutan kami perlu mengulangi semula proses menanam yang akan melibatkan penambahan kos seperti upah membajak semula petak sawah, menabur, membeli benih dan meracun.
“Sudah tentu secara langsung akan menjejaskan pendapatan kami kerana kawasan ini pada musim lalu mencatatkan hasil tuaian yang agak tinggi,” jelasnya.
Mehat Saman, 68, yang mengusahakan sawah seluas kira-kira lima hektar pula mendakwa, limpahan air yang menenggelamkan sawah turut mengandungi air beracun.
“Sekarang merupakan musim meracun di kawasan ini dan kelewatan air mengalir menyebabkan pokok padi kami mati kerana ditenggelami air beracun dalam tempoh lama,” dakwanya.
Selain itu dakwanya, jalan batas sawah juga rosak kerana digenangi air dan berkemungkinan perlu dibaiki semula untuk memudahkan jentera keluar masuk sepanjang musim padi kali ini.
Sehubungan itu, mereka meminta pihak berkuasa terutama MADA dan Unit Peladang Kawasan Dulang Besar mencari jalan untuk mengalirkan air Sungai Dulang Besar ke laut secepat mungkin, tidak lagi melimpah masuk ke sawah. – UTUSAN