PASIR PUTEH: Seorang pesara kerajaan maut dirempuh sebuah kereta semasa melintas jalan selepas pulang dari surau di Kilometer 50.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhadapan Balai Polis Bukit Yong di sini, padi tadi.
Kejadian pukul 7 pagi itu menyebabkan mangsa Rawi Mat Yaman, 78, meninggal dunia dilokasi akibat kecederaan dibahagian kepala, badan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa sedang berjalan kaki dari surau yang berada di sebelah kiri jalan untuk ke kanan.
Menurutnya, secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Iswara dari arah Jerteh telah merempuh mangsa.
“Kesannya, mangsa mengalami kecederaan dan maut dilokasi kejadian. Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Anis di sini untuk bedah siasat.
“Pelanggaran itu turut menyebabkan pemandu kereta berusia 30 tahun mengalami kecederaan pada bahagian muka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zaizul Rizal memberitahu, siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sedang dijalankan ketika ini.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi berhubung Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Pasir Puteh, Inspektor Muhammad Firdaus Adzmi di talian 011-11101606.-UTUSAN