'Pesakit kanser payudara perlu bangkit lawan perasaan sedih' - Utusan Malaysia

‘Pesakit kanser payudara perlu bangkit lawan perasaan sedih’

SARLINAWATI Abdul Mues ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Pink Etiqa di Bandar Baru Nilai, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pesakit-pesakit kanser payudara tidak boleh patah semangat malah perlu bangkit untuk melawan perasaan sedih yang dihadapi dengan semangat untuk pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa.

Itu nasihat yang diberikan oleh Sarlinawati Abdul Mues, 48, pejuang kanser payudara tahap empat yang kini bergerak aktif menerusi program sokongan pesakit kanser payudara menerusi kembara motosikal solonya.

Ibu tunggal kepada seorang anak itu memberitahu, tidak salah untuk pesakit kanser berasa sedih namun pesakit perlu segera bangkit melawan perasaan tersebut.

“Kekuatan saya untuk pulih adalah dengan memilih untuk bersikap positif dan mendampingi kumpulan yang sentiasa memberikan semangat ketika mengharungi penyakit tersebut.

“Dalam waktu itu, sokongan daripada keluarga dan orang terdekat amat penting kepada pesakit kanser payudara untuk kembali pulih,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Pelancaran Pink Etiqa di Bandar Baru Nilai, Nilai di sini hari ini.

Sarlinawati memberitahu lagi, dia menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Himpunan Kanser SeMalaya selepas bebas dari penyakit itu. 

Dia kemudian melakukan kembara motosikal secara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia iaitu kira-kira 3,000 kilometer selama 22 hari yang bermula di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya pada 2 Oktober tahun lalu.

“Menerusi jelajah bermotosikal ini, saya mahu menterjemahkan sokongan kepada pesakit kanser yang sedang berjuang atau yang berputus asa dalam melawan kanser kerana menganggap ia bukan noktah dalam kehidupan.

“Kepada pesakit kanser payudara ini percayalah penyakit dialami ini tidak semestinya berakhir dengan kematian tetapi kematian itu pasti. Saya sendiri masih melawan penyakit ini dan perlu mendapatkan rawatan. 

“Setiap bulan saya perlu mendapatkan suntikan anti kanser untuk tempoh lima tahun. Saya harap dengan usaha dilakukan ini, golongan wanita lebih cakna kerana perjalanan melawan penyakit kanser ini sememangnya memerlukan usaha bersama daripada pelbagai pihak,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya