KUANTAN: Usaha membela Datuk Seri Najib Tun Razak akan tetap diteruskan walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengarahkan bekas Perdana Menteri itu membela diri dalam kes 1MDB yang dihadapinya.
Anaknya, Datuk Mohamad Nizar berkata, ahli keluarga bekas Perdana Menteri tersebut tidak akan berputus asa dalam perjuangan mereka.
“Sekali lagi keputusan tidak memihak kepada pihak ayahanda Najib Razak yang mana beliau perlu membela diri dalam kes 1MDB.
“Kami sekeluarga sudah tentu amat kecewa dengan keputusan ini. Sudah enam tahun turun naik mahkamah tanpa kesudahannya.
“Bagaimanapun usaha untuk membela ayahanda tetap akan diteruskan. Kita tidak boleh berputus asa. Doakan agar kami semua tabah dan kuat hadapi segalanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Najib diperintah membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana 1MDB.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap bekas perdana menteri dan menteri kewangan terbabit.
Kes didengar Collin Lawrence Sequerah yang kini merupakan hakim di Mahkamah Rayuan.
Mohamad Nizar berterima kasih kepada semua pemimpin, sahabat-sahabat yang hadir memberikan sokongan dan semangat kepada keluarganya di mahkamah semalam. – UTUSAN