MELAKA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan menggunakan kaedah memasang jaring dan memancing untuk menangkap seekor buaya tembaga yang membaham biawak, berdasarkan klip video berdurasi satu minit yang tular, hari ini.
Timbalan Pengarah Perhilitan Melaka, Alfiesyahril Anewar Ahmad berkata, dua kaedah itu adalah paling sesuai berbanding memasang perangkap kerana lokasi terlibat berada di laluan bot Melaka River Cruise (MRC).
Ujarnya, berat reptilia itu dianggarkan antara 20 hingga 30 kilogram (kg) dengan panjang mencecah 1.8 meter.
Menurutnya, pemantauan turut dilakukan bagi meninjau pergerakan sang bedal yang dikatakan kerap muncul di pintu gerbang Kampung Morten dan kawasan bakau yang menjadi habitat biawak.
“Lapan kakitangan Perhilitan telah pergi ke tempat kejadian susulan tularnya klip video tersebut, namun tidak nampak kelibat reptilia itu. Hasil daripada pemantauan, barulah kita akan mula pasang jaring dan memancing menggunakan umpan itik.
“Jika dua kaedah ini tidak berhasil, barulah kita akan ambil perangkap di Sungai Malim untuk dibawa dan di pasang di kawasan ini. Itupun kena lihat lokasi yang sesuai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah Alfiesyahril Anewar, berdasarkan aduan penduduk kampung, hanya seekor sahaja reptilia itu yang didakwa berkeliaran sejak dua bulan lalu.
Sementara itu, Sidang Kampung Morten, Azman Dollah berkata, pintu gerbang dan kawasan bakau menjadi sumber makanan buaya itu kerana populasi biawak dan ikan yang tinggi di situ.
“Kelmarin ada penduduk nampak haiwan ini muncul tetapi tidak lama. Pagi tadi ia muncul dan membaham biawak yang agak besar. Perhilitan perlu menangkap reptilia ini dengan segera kerana penduduk bimbang sewaktu air pasang besar buaya itu boleh naik ke darat.
“Bila air pasang besar, air sungai sudah menyamai paras darat dan tidak mustahil buaya ini boleh naik ke darat. Ini sebenarnya yang merisaukan penduduk di sini,” katanya. – UTUSAN