KOTA KINABALU: Kerajaan mampu menjimatkan 40 peratus atau RM8 bilion setahun apabila melaksanakan penyasaran subsidi petrol pada pertengahan tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana jumlah subsidi tersebut sejak 40 tahun lalu turut dinikmati orang kaya dan warga asing.
Menurut beliau, kerajaan memberi jaminan 85 peratus rakyat akan kekal menikmati subsidi sebaik penyasaran subsidi petrol bermula.
“Penyasaran subsidi petrol itu perlu dilakukan kerana dalam tempoh setahun, 40 peratus atau RM8 bilion subsidi dinikmati golongan paling kaya dan warga asing.
“Sekarang ini, subsidi petrol termasuk kepada rakyat asing, dia (rakyat asing) tidak bayar cukai tapi kita bagi subsidi, kita bagi sedekah. Golongan paling kaya 15 peratus di atas campur dengan orang asing, gunakan subsidi 40 peratus atau RM8 bilion setahun.
“Kerajaan murah hati luar biasa…kerajaan kurang cerdik sebab setiap tahun RM8 bilion kita bagi kepada orang kaya dan bukan warganegara.
“Itu sebab kita fikir bagaimana mahu ubah, rakyat kena faham subsidi petrol kena ubah, ubah kepada siapa? Tidak kepada rakyat, jangan bimbang…85 peratus rakyat kekal dengan subsid,” kata beliau semasa majlis penutupan Program Madani Rakyat (PMR) 2024 Sayangi Sabah, di pekarangan Kompleks Sukan Likas semalam.
Kata beliau, dengan pelaksanaan tersebut ia hanya membabitkan 15 peratus rakyat dan warga asing yang perlu membeli harga petrol mengikut pasaran iaitu RM2.65 sen seliter berbanding RM2.05 seliter.
Anwar berkata, ketika pelaksanaan penyasaran tersebut harga petrol di negara ini tetap paling murah berbanding Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina. Malah mahupun Arab Saudi.
Sementara itu dalam kenyataan, Malaysia berduka atas kehilangan seorang pejuang Palestin, Al Syahid Yahya Sinwar yang dibunuh rejim Zionis.
Perdana Menteri berkata, insiden tersebut sekali lagi menunjukkan komuniti antarabangsa gagal memperjuang serta memastikan keadilan tertegak lantas memburuk situasi konflik Israel-Palestin. – UTUSAN