Penting saringan kesihatan umum - Utusan Malaysia

Penting saringan kesihatan umum

ORANG dewasa disaran membuat saringan kesihatan umum secara berkalauntuk mengesan penyakit atau faktor risiko pada peringkat awal, sebelum gejala muncul.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Golongan dewasa disaran menjalani saringan kesihatan umum secara berkala terutama mereka yang mempunyai sejarah keluarga atau faktor risiko tinggi untuk penyakit tertentu.

Selain itu, individu yang mempunyai gaya hidup tidak aktif, perokok atau berlebihan berat badan juga disarankan membuat saringan secara lebih kerap.

Pakar Obstetriks dan Ginekologi (O&G). Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, Dr. Khong Jac Mun berkata, saringan kesihatan umum ialah pemeriksaan kesihatan berkala untuk mengesan penyakit atau faktor risiko pada peringkat awal, sebelum sesuatu gejala muncul.

“Saringan berkala itu termasuk pemeriksaan tekanan darah, paras kolesterol, glukosa darah, pemeriksaan berat badan, kesihatan mental dan lain-lain ujian yang relevan.

“Ia penting bagi membantu mengesan penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung pada peringkat awal.

“Saringan kesihatan berkala dapat meningkatkan peluang rawatan awal yang boleh mencegah komplikasi lebih lanjut dan memastikan individu kekal sihat dan memantau sebarang perubahan dalam kesihatan,” katanya di sini.

Jac Mun turut berkongsi tentang kepentingan pencegahan kanser pangkal rahim yang berpunca daripada jangkitan virus Human Papillomavirus (HPV), yang disebarkan melalui hubungan seksual.

“Vaksinasi HPV adalah kaedah pencegahan utama dan disarankan diberikan kepada remaja perempuan dan lelaki sebelum mereka mula aktif secara seksual, biasanya pada usia sembilan hingga 26 tahun.

“Wanita disarankan untuk menjalani ujian Pap smear setiap tiga hingga lima tahun bermula dari usia 21 tahun untuk mengesan perubahan sel di serviks yang boleh berkembang menjadi kanser.

“Selain itu, mengamalkan seks selamat dengan menggunakan kondom dan membatasi bilangan pasangan boleh mengurangkan risiko jangkitan HPV. Merokok boleh meningkatkan risiko kanser pangkal rahim, jadi berhenti merokok dapat membantu mengurangkan risiko,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai turut disaran melakukan perancangan keluarga merujuk kepada penggunaan kaedah yang membantu pasangan atau individu mengawal bilangan anak dan jarak antara kelahiran anak.

“Ini termasuk penggunaan alat kontraseptif seperti pil perancang, kondom, suntikan, alat intrauterin (IUD), dan kaedah semulajadi. Ia penting demi kesihatan ibu dan anak. Jarak yang sesuai antara kelahiran anak memberikan masa kepada ibu untuk pulih sepenuhnya dan mengurangkan risiko komplikasi kehamilan.

“Perancangan keluarga juga membantu pasangan merancang sumber kewangan mereka dengan lebih baik serta menyediakan pendidikan dan penjagaan kesihatan yang mencukupi untuk anak-anak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya