LENGGONG: Sekumpulan penternak ikan sangkar dan nelayan di Tasik Raban di sini panik serta berdepan situasi sukar apabila paras air di kawasan ternakan mereka surut.
Mereka yang menetap di Kampung Pengkalan Ikan sejak Jumaat lalu memberitahu bot masing-masing terkandas di beberapa kawasan yang tiba-tiba kering, dengan mendakwa keadaan seumpama itu tidak pernah berlaku.
Seorang daripada penternak, Noorsazleen Mohmad Roslee, 37 tahun berkata, kesemua mereka terkejut dan buntu terhadap kejadian tersebut serta risau nasib ikan ternakan.
“Sangkar yang berada di tepi tasik akan terjejas teruk. Setakat ini dalam tiga hingga empat sangkar yang terkesan.
“Masalah paling besar apabila bot-bot tidak dapat keluar untuk beri ikan makan dan pada masa sama nelayan mahu keluar mencari rezeki,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Apa lebih mengejutkan mereka adalah perubahan drastik paras air memandangkan beberapa kawasan di Hulu Perak dan Kuala Kangsar terutama yang bersebelahan sungai baru sahaja pulih daripada banjir teruk akibat hujan lebat berterusan.
Mereka tertanya adakah kejadian itu disebabkan faktor kawalan air susulan perkembangan pada minggu lalu berhubung kerja-kerja pelepasan air oleh Tenaga Nasional Berhad di empangan yang dikendalikan oleh syarikat utiliti tersebut.
“Sebab sebelum ini tidak pernah surut seteruk macam ini. Mungkin pernah berlaku tapi tak pernah seteruk ini. Malah banjir besar pada tahun 2014 pun pelepasan empangan tak seteruk ini,” kata Noorsazleen.
Dia juga memuat naik perkara itu di dalam media sosial dan mendapat reaksi sama daripada orang ramai yang terkejut dengan keadaan tersebut.
“Harap perkongsian ini dapat buka mata pihak berwajib. Kami buntu sebenarnya nak salurkan pertanyaan kepada siapa,” katanya.