SEREMBAN: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak angkat perempuannya berusia 16 tahun yang dijaga sejak kecil pada Mei tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 51 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fiizkal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun untuk maksud seksual.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Durian Tipus di Jelebu pada Mei tahun lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd. Saubian menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Peguam, Nur’ain Shahiera Khalid yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana tertuduh bekerja sebagai penjaga pintu empangan di sebuah jabatan kerajaan dengan pendapatan RM2,500 dan perlu menanggung isteri serta lapan anak termasuk mangsa.
Nur’ain Shahiera memaklumkan mangsa merupakan anak angkat tertuduh yang dijaga sejak kecil.
Pihak pendakwaan kemudian mengesahkan mangsa kini masih berada di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban dan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penjagaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 27 November depan.
Sementara itu, di luar mahkamah seorang petugas media telah dihalang oleh ahli keluarga tertuduh ketika mengambil gambarnya yang telah selesai membayar wang jaminan.-UTUSAN.