LONDON: United Kingdom (UK) akan membebaskan kumpulan kedua melibatkan 1,000 banduan lebih awal, sebagai sebahagian langkah kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di penjara.
Langkah ini adalah sebahagian daripada semakan semula hukuman yang bertujuan mengatasi isu kesesakan di penjara yang semakin kritikal.
Dasar kontroversi ini menyaksikan pembebasan awal 1,700 banduan pada bulan lalu, lapor AFP.
Setiausaha Kehakiman, Shabana Mahmood berjanji kesilapan yang berlaku dalam pembebasan terdahulu, di mana 37 banduan tidak layak dibebaskan secara tidak sengaja, akan diperbaiki.
Semakan itu akan mempertimbangkan hukuman bukan penjara yang lebih ketat untuk sesetengah penjenayah, termasuk penggunaan teknologi ‘nudge’ seperti jam tangan atau aplikasi, serta perintah tahanan rumah.
Dasar pembebasan awal menyaksikan beberapa pesalah yang dianggap tidak ganas dan mematuhi syarat tertentu dibebaskan selepas menjalani 40 peratus hukuman berbanding kebiasaannya 50 peratus.
Bekas Setiausaha Kehakiman, David Gauke, yang mengetuai semakan ini, berkata populasi penjara – kini sekitar 89,000 – meningkat sebanyak 4,500 setahun, dengan 90 peratus mereka dipenjarakan kerana kesalahan berulang.
Mahmood menjelaskan, dasar pembebasan awal terpaksa dilaksanakan oleh kerajaan kerana krisis penjara yang diwarisi daripada kerajaan Konservatif sebelum ini.
Beliau berkata, selepas memenangi tampuk pemerintahan pada awal Julai, menteri kerajaan Parti Buruh mendapati sistem penjara berada di ambang keruntuhan.– AFP