Peniaga kedai makan didakwa rasuah polis RM18,000 - Utusan Malaysia

Peniaga kedai makan didakwa rasuah polis RM18,000

SIOH POH KEONG mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dakwaan memberi rasuah sebanyak RM18,000 kepada seorang pegawai polis pada Jun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang peniaga kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah sebanyak RM18,000 kepada seorang pegawai polis, empat bulan lalu.

Walau bagaimanapun, Sioh Poh Keong, 51, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Poh Keong didakwa memberi suapan wang tunai RM18,000 kepada Inspektor Risikan/Operasi, Pasukan Polis Marin Wilayah Dua sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang menyimpan minuman keras tidak bercukai di Taman Air Biru, Pasir Gudang, dekat sini pada pukul 2.30 petang, 19 Jun lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan sehingga RM10,000 dengan syarat tambahan pasport antarabangsa perlu diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor.

Peguam tertuduh, K. Bharathi memberitahu, anak guamnya berpendapatan sebanyak RM4,000 sebulan hasil perniagaan kedai makan.

“Tertuduh juga menanggung seorang kakak berusia 67 tahun yang baharu menjalani pembedahan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 10 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya