Peniaga jana RM15,000 sebulan jual ‘roti jala jelita’

Peniaga jana RM15,000 sebulan jual ‘roti jala jelita’

WAN Marhuma Wan Hamad menunjukkan roti jala jelita yang sering mendapat permintaan pelanggan ketika ditemui di Kampung Pekan, Kuala Besut, semalam. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang peniaga kuih-muih tradisional di Kampung Pekan, Kuala Besut di sini tidak menang tangan menerima tempahan menghasilkan ‘roti jala jelita’ sejak tiga tahun lalu.

Wan Marhuma Wan Hamad, 32, berkata, roti jala jelita sering mendapat permintaan untuk dijadikan sebagai hantaran perkahwinan atau pertunangan dan sambutan hari lahir.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan kuih itu tercetus apabila ‘terpikat’ melihat gubahan yang sering digunakan dalam majlis perkahwinan dan mengikuti kelas dalam talian untuk menghasilkan roti jala tersebut.

“Pada peringkat awal, saya hanya menjual roti jala dengan kuah kari, namun setelah beberapa tahun berniaga saya mula membuat pembaharuan dengan menjual roti jala jelita.

“Saya telah mengubah suai reka bentuk roti jala supaya nampak lebih menarik dan sesuai juga dijadikan bahan hantaran bagi majlis perkahwinan, pertunangan dan hari lahir,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Wan Marhuma memberitahu, pengalaman berniaga roti jala sejak tahun 2016 dan minat yang mendalam terhadap pembuatan kuih-muih tradisional membuatkan dirinya terpanggil untuk melakukan pembaharuan bagi memastikan perniagaan yang dijalan sentiasa mendapat permintaan.

“Permintaan terhadap roti jala ini meningkat berlipat ganda ketika cuti persekolahan dan juga musim perayaan sehingga saya terpaksa bersengkang mata dari awal pagi,” katanya.

Ujarnya, hasil daripada pengiklanan yang dilakukan dalam media sosial seperti Facebook serta aplikasi Whatsapp, dia mendapat banyak tempahan di seluruh Terengganu dan juga Kelantan sehingga menjana pendapatan mencecah RM15, 000 sebulan.

Wan Marhuma berkata, harga yang dijual bagi satu bekas roti jala ini adalah bermula serendah RM3 sehingga RM100 mengikut jenis dan jumlah roti jala yang diminta pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya