Peniaga diingatkan pamer label merah jambu barangan kawalan - Utusan Malaysia

Peniaga diingatkan pamer label merah jambu barangan kawalan

S. VEERAPAN menunjukkan label berwarna merah jambu bagi barangan yang tersenarai dalam SHMMP sempena Deepavali 2024 di sebuah pasar raya di Senawang, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Para peniaga diingatkan supaya meletakkan label berwarna merah jambu bagi barangan yang tersenarai dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Deepavali 2024 jika tidak mereka akan berdepan tindakan denda atau kompaun.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, selain meletakkan tanda harga berwarna merah jambu, peniaga turut diingatkan untuk tidak melakukan kesalahan menjual barangan kawalan melebihi harga ditetapkan.

“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Tindakan tegas akan diambil kepada peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim tersebut iaitu kesalahan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Program Walkabout Sempena Pelancaran SHMMP Deepavali 2024 di sebuah pasar raya di Senawang di sini.

Jelas beliau, peniaga yang gagal meletakkan tanda harga merah jambu boleh didenda maksimum RM10,000 bagi individu dan dikompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat boleh didenda maksimim RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

“Bagi kesalahan menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum pula boleh didenda maksimum RM100,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya serta dikompaun sehingga RM50,000 dan bagi syarikat boleh didenda maksimum RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Veerapan berkata, seramai lebih 100 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan akan ditugaskan di beberapa lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan bagi membuat pemantauan dan pemeriksaan harian.

“Tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024 berkuatkuasa hari ini hingga 3 November depan melibatkan lapan jenis barangan kawalan.

“Antara barangan kawalan tersebut termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil (India), bawang merah besar impprt dan kacang dal (Australia),” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya