JOHOR BAHRU: Penggunaan aplikasi kod QR MyRentas di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini sejak 1 Jun lalu berjaya mengurangkan tempoh menunggu pengguna bas yang berulang-alik pada waktu puncak daripada dua jam menjadi hanya 15 minit.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Jati Jana (M) Sdn. Bhd., Azril Rizal Abdullah berkata, pengembara yang merentas sempadan antara Malaysia-Singapura menggunakan aplikasi kod QR MyRentas di BSI dan aplikasi MyTRIP di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.
“Berdasarkan data statistik yang diperoleh, purata penggunaan MyRentas oleh setiap pengguna adalah sebanyak 29 kali sejak sistem ini diperkenalkan. MyRentas berjaya memendekkan masa pelepasan antara 30 hingga 45 saat kepada kurang dari lima saat untuk seorang pengguna,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Azril Rizal berkata, dianggarkan seramai dua juta pengembara menggunakan aplikasi tersebut hingga kini.
Menurutnya, aplikasi MyRentas juga bersedia untuk diguna pakai di laluan kereta dan penggunaannya boleh diperluaskan untuk pengembara warga Singapura, selain kebolehupayaan untuk berintegrasi dengan sistem dari negara jiran.
Pada 1 Jun lalu, Jabatan Imigresen melancarkan MyRentas, iaitu sistem kod QR rentas sempadan ke Singapura, inisiatif proaktif bagi menangani masalah kesesakan di sempadan Malaysia-Singapura terutama di BSI.
Sistem yang diberi lanjutan tempoh percubaan tiga bulan bermula September lalu itu adalah antara inisiatif transformasi digital Jabatan Imigresen bagi memudahkan rakyat Malaysia yang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura setiap hari.
Pada masa ini, MyRentas hanya boleh digunakan oleh pengguna bas warga Malaysia di pintu masuk BSI dengan aplikasi berkenaan boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Android Play Store.
Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu, fasa pertama bagi percubaan kod QR itu akan berlangsung tiga bulan sebelum diperluaskan kepada pengguna kenderaan persendirian pada fasa kedua, rakyat Singapura (fasa ketiga) dan selepas itu warganegara lain
Dalam pada itu, Azril Rizal berkata, tempoh fasa pengujian daya maju atau ‘proof of concept’ (POC) keberkesanan pemeriksaan Imigresen menggunakan kod QR di pintu masuk BSI dan KSAB, di sini dilanjutkan hingga November ini.
Katanya, lanjutan tempoh pengujian itu bertujuan membolehkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya Jabatan Imigresen melihat secara lebih mendalam keberkesanan sistem berkenaan dalam mempercepatkan proses pelepasan imigresen di pintu sempadan Malaysia-Singapura.
“Sistem MyRentas menggunakan teknologi kod QR dengan ciri-ciri keselamatan seperti pengecaman wajah, pengesanan bagi memastikan individu yang mengakses sistem bukan gambar, video atau objek tiruan (liveness detection) dan kod QR dinamik untuk memastikan identiti pengguna yang layak sahaja dapat menggunakan kemudahan berkenaan,” katanya. – UTUSAN