Penggunaan khemah konsep baharu dicadang di Pantai Telok Kemang

Penggunaan khemah konsep baharu dicadang di Pantai Telok Kemang

ISU deretan 'khemah biru' di Pantai Telok Kemang, Port Dickson yang membelenggu sejak sekian lama dijangka dapat diselesaikan pada awal tahun hadapan.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Isu berkaitan kawasan Pantai Telok Kemang di Port Dickson yang dibanjiri dengan deretan ‘khemah biru’ sehingga menimbulkan rungutan dalam kalangan pengunjung akan diselesaikan menjelang penghujung tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketika ini proses perbincangan sedang dijalankan bersama pengusaha-pengusaha khemah terbabit bagi mencari kaedah penyelesaian termasuk berkemungkinan konsep baharu khemah akan digunakan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berpandangan lagi, daripada terus pergeseran dalam isu berkenaan dengan pengusaha, adalah lebih baik perbincangan dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian menang-menang.

Katanya, jalan penyelesaian tersebut supaya pengusaha boleh terus mencari rezeki seperti yang dilakukan sejak sekian lama disamping pemandangan adalah lebih baik dan persekitaran lebih selesa.

“Kerajaan negeri beranggapan daripada berseteru, kita akan mencadangkan beberapa perkara, insya-Allah diselesaikan hujung tahun ini. Konsepnya lain, 1 Januari akan berubah, rundingan sedang berjalan,” katanya.

Isu pemasangan ‘khemah biru’ di Pantai Telok Kemang timbul semula di media sosial selepas dikatakan mendatangkan rasa kurang selesa pengunjung selain menjejaskan pemandangan di pantai itu.

Keadaan tersebut menyebabkan ada yang melihat Pantai Telok Kemang tidak ubah seperti kawasan ‘pasar tani’ malah turut menggelarkannya sebagai ‘Pantai Telok Khemah’

Sementara itu, ketika berucap pada Program Townhall Sejahtera Waghih Nogori Bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, Sikamat di sini semalam, Aminuddin memberitahu, penggunaan khemah baharu dicadang untuk digunakan di Pantai Telok Kemang bagi memberi imej baharu bagi pantai berkenaan.

“Insya-Allah, kita akan cuba memperbaiki dan pada 1 Januari tahun hadapan kita akan ada khemah yang cantik, tidak berwarna biru, mereka mengadu berwarna biru, jadi kita tukar warna, itu kreativiti maksudnya, kita akan ubah jadi warna putih ataupun warna kuning,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Aminuddin menjelaskan, Port Dickson tidak hanya mempunyai Pantai Telok Kemang sebaliknya mempunyai sembilan pantai lain yang boleh dikunjungi dan tidak berdepan masalah pemasangan khemah.

“Port Dickson ada sembilan pantai lain yang tidak dibenarkan memasang khemah dan kerusi angin, itu juga dikawal, ada (pantai) langsung tiada supaya memberikan keselesaan kepada pengunjung.

“Tetapi ada yang tidak memahami, janganlah kerana isu khemah di satu kawasan, ia memburukkan keadaan pelancongan, itu tidak adil.

“Saya juga minta peniaga juga menghormati undang-undang, kita ada peraturan, mungkin sekarang kita boleh bertolak ansur tetapi jika ada asa mereka tidak boleh menerima, kerajaan akan ambil tindakan,” katanya lagi.-UTUSAN,

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya