Pengedar bertindak agresif, polis lepaskan tiga das tembakan - Utusan Malaysia

Pengedar bertindak agresif, polis lepaskan tiga das tembakan

M. KUMAR (tengah) bergambar bersama-sama pegawai dan anggota polis yang menerima sijil pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Dataran Kawat IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan terhadap sebuah kenderaan dipandu seorang lelaki yang bertindak agresif dengan merempuh kenderaan peronda.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 6.50 petang semalam, namun tiada pihak cedera dalam insiden tersebut tetapi kenderaan peronda polis mengalami kerosakan teruk.

“Semasa rondaan dibuat di Jalan Dato’ Abdullah Tahir, peronda polis mendapati sebuah kenderaan dipandu dalam keadaan mencurigakan. Apabila polis menghampiri untuk pemeriksaan, pemandu memecut melarikan diri.

“Ketika cuba menghampiri kenderaan itu, suspek bertindak merempuh kenderaan peronda dan beberapa kenderaan lain menyebabkan polis terpaksa melepaskan tiga tembakan ke arah tayar kenderaan,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kumar memberitahu, pemeriksaan terhadap suspek berusia 27 tahun itu mendapati dia memiliki dadah heroin seberat 296 gram.

Suspek yang kini direman selama tujuh hari bermula hari ini turut didapati positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai 16 rekod jenayah. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 307 kanun yang sama kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah.

Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya