BEIJING: Pengasas ByteDance, Zhang Yiming, kini menjadi individu terkaya di China dengan nilai kekayaan peribadi mencecah AS$49.3 bilion (RM215.4 bilion).
ByteDance, mempromosikan TikTok sebagai platform perkongsian video, membolehkan penggunanya memuat naik video.
Zhang, 41, meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ByteDance pada 2021, menjadi individu ke-18 yang diisytihar sebagai individu terkaya China dalam tempoh 26 tahun sejak Senarai Orang Kaya Hurun China pertama kali diterbitkan.
Beliau mengatasi pengasas syarikat air botol, Zhong Shanshan, yang jatuh ke tempat kedua setelah kekayaannya merosot sebanyak 24 peratus kepada AS$47.9 bilion (RM209.3 bilion).
Meskipun berdepan pertikaian undang-undang berkaitan aset di AS, ByteDance mencatatkan pertumbuhan hasil global sebanyak 30 peratus tahun lalu kepada AS$110 bilion, yang turut melonjakkan kekayaan peribadi Zhang, menurut Hurun.
Tempat ketiga dalam senarai tersebut adalah pengasas Tencent, Pony Ma, manakala pengasas PDD Holdings, Colin Huang, turun ke tempat keempat daripada ketiga tahun lepas, meskipun platform e-dagang Pinduoduo dan Temu terus mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang sihat.
Bilangan bilionair dalam senarai itu menurun sebanyak 142 kepada 753, menyusut lebih satu pertiga daripada kemuncaknya pada 2021.- REUTERS