PENDANG: Penduduk sekitar daerah ini terutama di kawasan pedalaman gelisah ekoran fenomena banjir termenung yang kembali melanda sejak Isnin lepas.
Seorang penduduk, Zamzuriah Mohd. Satar, 52, dari Kampung Banggol Besi di sini memberitahu, banjir kali kedua yang melanda kawasan itu lebih buruk daripada sebelum ini.
“Air baru surut sejengkal, kami kena pindah balik ke pusat pemindahan sementara (PPS). Kejadian pertama hari itu air naik sampai masuk rumah dan kali ini lagi teruk walaupun hujan tidak kerap sangat.
“Kami terpaksa pindah sebab bimbang kalau hujan lagi, banjir makin teruk. Kali ini tidak tahu berapa lama kena duduk PPS. Hari itu hampir seminggu juga, balik rumah sekejap kena datang balik. Barang-barang memang rosak sebab berendam lama,” katanya ketika ditemui di PPS Kompleks Rakan Sukan di sini semalam.
Kejadian yang sama turut menimpa warga emas, Abdul Rahman Abdullah, 75, yang terpaksa mengusung adik iparnya, Rahali Jais, 65, yang juga orang kurang upaya (OKU) ke PPS tersebut.
“Bah datang cepat tetapi balik lambat. Entah berapa lama pula kali ini kami duduk di sini. Kami dipindahkan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis menaiki bot selepas air naik paras pinggang.
“Duduk rumah mahu keluar pun susah macam mana hendak cari makan jadi perlu duduk PPS,” katanya yang menetap di Kampung Sukamari di sini.
Dalam pada itu, anggota APM dan polis daerah ini berjaya memindahkan beberapa penduduk termasuk warga emas lumpuh, Che Yah Ahmad, 67, dari Kampung Tanjung Raden dan seorang gadis OKU, Noradillah Ramli, 28, dan neneknya, Aishah Ahmad, 76, dari Kampung Pondok Haji Husin di sini.
Mereka antara mangsa dari seluruh Pendang yang ditempatkan di PPS Kompleks Rakan Sukan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang yang beroperasi di sini.
Menurut Aishah, dia terpaksa berpindah setelah rumahnya dinaiki air sehingga paras pinggang demi keselamatan cucunya, Noradillah yang juga OKU kategori pembelajaran.
“Cucu saya susah mahu kawal, semalam saya jumpa dia main air sampai nampak kepala sahaja. Takut jadi macam-macam sebab saya pun bukan kuat sangat. Kami tinggal di sini berdua sahaja.
“Kalau dekat PPS rasa lebih selamat. Lagipun kawasan rumah ini air makin naik walaupun semalam tidak hujan. Kalau hujan mungkin lebih teruk,” katanya. – UTUSAN