Penduduk kesal, Bukit Pelandok jadi mangsa pencemaran alam sekitar - Utusan Malaysia

Penduduk kesal, Bukit Pelandok jadi mangsa pencemaran alam sekitar

YEW Boon Lye menunjukkan pencemaran sisa kimia cat dan minyak yang dibuang di Bukit Pelandok, Port Dickson.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Penduduk di Kampung Bukit Pelandok, di sini, kesal apabila kawasan tersebut menjadi mangsa akibat tindakan tidak bertanggungjawab penjenayah alam sekitar yang melupuskan bahan sisa kimia di lokasi itu.

Ia susulan penemuan baru-baru ini sejumlah 100 tong berkapasiti 210 liter dan lebih kurang 50 tangki intermediate bulk container (IBC) berkapasiti 1,000 liter yang mengandungi sisia kimia dipercayai cat dan minyak yang dibuang secara haram kawasan berkenaan.

Ketua Kampung Bukit Pelandok, Teng Mee Chong, 49, berkata, tindakan pelaku pencemaran alam sekitar itu begitu licik kerana dipercayai menjalankan kegiatan membuang sisa tersebut pada waktu malam.

“Walaupun terpaksa masuk jauh kira-kira tiga kilometer ke dalam kawasan kebun kelapa sawit, orang yang tidak bertanggungjawab ini tetap juga sanggup untuk membuang sisa kimia ini.

“Kesudahannya ramai pekebun yang kini terpaksa menanggung bau busuk ketika masuk ke kawasan ini.

“Ini merupakan kejadian kali kedua sisa kimia dibuang di sini. Hujung tahun lalu pun ada di kawasan berhampiran iaitu Chuah tapi kali ini mereka lebih berani apabila membuang sisa kimia dalam jumlah yang lebih banyak,” katanya kepada pemberita semasa tinjauan ke lokasi kejadian bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Yew Boon Lye, di sini, hari ini.

Tinjauan itu turut disertai Penolong Pengarah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Azri Muzani Azizun.

Menurut Boon Lye, semua bahan kimia itu ditemukan penduduk pada minggu lalu yang merupakan pemilik kawasan ladang kelapa sawit berkenaan.

“Saya menasihatkan pemilik tanah untuk membuat laporan polis terlebih dahulu bagi tindakan pihak berkuasa.
Saya kesal kerana ia dibuang di lokasi ladang sawit penduduk, masuk ke dalam saliran yang seterusnya akan mengalir ke sungai berhampiran.

“Tinjauan hari ini pun kita dapat lihat ada pokok yang terkena cairan itu mati dan seekor kura-kura juga mati. Bau busuk juga boleh dihidu dalam jarak 100 meter.

“Buat masa ini, saya masih menunggu laporan kimia daripada JAS dan jika terbukti ia bahan terlarang atau toksik berbahaya tindakan susulan akan diambil,” katanya lagi.

Ujar Boon Lye lagi, ia kali kedua kejadian serupa berlaku di kawasan Chuah dan berharap agar ‘penjenayah’ yang melakukannya akan dapat ditangkap serta diambil tindakan undang-undang.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan memaklumkan, persampelan kandungan telah dibuat oleh pihak JAS Negeri Sembilan dan akan dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis secara lebih terperinci.

Katanya, laporan polis juga telah dibuat bagi tujuan pemberitahuan dan pemantauan yang lebih tepat oleh pihak berkuasa.

“JAS Negeri Sembilan seterusnya akan menjalankan carian pemilik tanah melalui Pejabat Tanah dan Daerah Port Dickson untuk membantu dalam siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

“Tindakan perundangan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti pencemaran ini,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN