MELAKA: Di kala rakyat di lima negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak dan Selangor gusar berikutan ramalan banjir besar akibat fenomena air pasang besar, penduduk Kampung Morten di sini pula diselubungi kerisauan gara-gara kemunculan buaya.
Sidang Kampung Morten, Azman Dollah berkata, apabila berlakunya air pasang besar, paras air Sungai Melaka kebiasaannya akan menghampiri tebing lantas memudahkan buaya tembaga itu naik ke darat dan mengancam keselamatan masyarakat.
Menurutnya, kira-kira 500 penduduk kampung berkenaan semakin resah sejak tularnya klip video memaparkan reptilia itu membaham seekor biawak berhampiran penempatan mereka, Selasa lalu.
“Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) perlu segera menangkap buaya ini. Kebimbangan penduduk apabila berlaku air pasang besar yang boleh menghampiri tebing, ia akan memudahkan buaya itu naik ke darat.
“Buat masa ini tidak ada sebarang kejadian tidak diingini tetapi melihat buaya itu dalam kelaparan menyebabkan ia semakin ganas. Kita bimbang jika ia boleh naik ke darat jika berlaku air pasang.
“Selain itu ada tiga longkang boleh meloloskannya masuk ke Kampung Morten,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Perhilitan akan menggunakan kaedah memasang jaring dan memancing untuk menangkap buaya dengan berat dianggarkan antara 20 hingga 30 kilogram (kg) dan panjang mencecah 1.8 meter.
Timbalan Pengarah Perhilitan Melaka, Alfiesyahril Anewar Ahmad berkata, dua kaedah itu adalah paling sesuai berbanding memasang perangkap kerana lokasi terlibat berada di laluan bot Melaka River Cruise (MRC).
Dalam pada itu, seorang penduduk, Mohd. Daud Mohamad, 56, mendakwa, reptilia itu dilihat semakin mengganas dan kerap muncul di sekitar pintu gerbang serta pusat beli-belah tidak jauh dari Kampung Morten. – UTUSAN