Penduduk Ijok letih hadap banjir

Penduduk Ijok letih hadap banjir

PENGERUSI Jawatankuasa Komuniti Desa MADANI Mohd. Afandy Dahlan (tengah) membantu membersihkan rumah milik Mohd. Rozi (kiri) yang dilanda banjir dekat Kampung Batu 7, Ijok, di Kuala Selangor, Selangor, semalam. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: “Letih hadap banjir setiap tahun sejak lebih sedekad lalu.”

Demikian luahan seorang daripada penduduk Kampung Batu 7, Ijok, Mohd. Rozi Basir, 45, yang mengakui lelah dengan insiden banjir yang kerap kali menenggelamkan kediaman yang diduduki sekeluarga.

Menurutnya, setiap tahun sekurang-kurangnya sekali banjir akan berlaku terutama apabila hujan lebat dalam tempoh lebih sejam.

“Awal-awal dahulu saya mampu hadapi, tetapi sekarang sudah mula rasa bimbang. Rumah saya kebiasaannya akan dilanda banjir kerana ia terletak di kawasan tanah rendah di kampung ini.

“Keadaan banjir kadang-kadang berlaku sewaktu hari tak hujan sebab air turun di Hulu Selangor dengan curahannya mengalir melalui anak-anak sungai berhampiran sehingga menyebabkan berlaku limpahan di kawasan sekitar ini termasuk Kampung Batu 7,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, ‘banjir termenung’ dilaporkan melanda selepas ban pecah di Lembangan Sungai Buloh sehingga mengakibatkan 1,400 penduduk menggesa pihak berwajib membaiki kerosakan itu dengan segera.

Bagaimanapun, dua ban pecah yang mengakibatkan banjir teruk di daerah ini dan Sungai Buloh sudah pun selesai dibaik pulih Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak minggu lalu.

Justeru, Mohd. Rozi berharap, pihak berkuasa turut melakukan lawatan berkala ke lokasi ban tersebut agar tindakan segera boleh diambil seandainya strukturnya berisiko runtuh lagi.

Sementara itu, jirannya seorang warga emas, Norlida Ghani, 60, memberitahu, dia berharap ada pihak yang sudi membantu mengemaskan rumahnya yang dinaiki banjir lebih satu meter.

“Saya tidak mampu membersihkan rumah kerana banyak perabot dan barang yang rosak.

“Memang letih menghadap banjir yang datang saban tahun. “Jika ada yang boleh membantu mengemaskan rumah saya ini, amatlah dihargai,” ujarnya.

Seorang lagi warga emas, Abdul Rahim Miswandi, 66, turut berharap ada pihak dapat membantunya membersihkan rumah selepas banjir.

“Lebih 10 kali banjir kami hadapi hingga terpaksa tidur di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) beberapa malam.

“Penat memanglah penat berkemas, saya reda. Tetapi jika ada jalan penyelesaian jangka panjang laksanakanlah,” gesanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya