GERIK: Penduduk Kampung Padang di sini terus berwaspada walaupun dakwaan cubaan menculik membabitkan seorang remaja di kawasan tersebut baru-baru ini didakwa sekadar imaginasi mangsa.
Tinjauan penduduk pada mulanya ramai terkejut dan takut kerana kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku di kampung tersebut.
“Saya baru tahu perkara ini namun kemudian tular dalam WhatsApp bahawa ia sekadar mimpi mangsa. Kami masih macam biasa,” katanya ketika ditemui.
Seorang penduduk berkata, van bernombor pendaftaran negara jiran jarang memasuki kawasan Kampung Padang, namun tidak menolak kemungkinan ada penduduk pernah melihat van seperti itu memandangkan Gerik adalah bersempadan dengan Thailand.
Seorang lagi mengetahui kejadian tersebut apabila Sekatan Jalan Raya (SJR) polis diadakan di Gerik yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Kata penduduk, lokasi kejadian yang didakwa berlaku itu di jalan utama bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang.
Tinjauan mendapati jalan itu tidak sunyi terutama pada waktu puncak kerana laluan utama penduduk kampung untuk pergi ke pusat bandar Gerik.
Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, remaja berkenaan telah membuat laporan semula kepada polis bagi memperbetulkan ceritanya mengenai isu culik tersebut.
Sebelum itu, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun menempuh detik cemas selepas hampir menjadi mangsa ‘culik’ dalam kejadian selepas sebuah van berwarna putih menggunakan nombor pendaftaran negara jiran didakwa menghimpitnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, siasatan berhubung kes itu masih diteruskan. – UTUSAN