Penambahan lorong khas galak guna bas awam

Penambahan lorong khas galak guna bas awam

CHEONG SZE HOONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengumuman menambah lorong khas untuk bas menerusi peruntukan RM10 juta menerusi pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini amat dinanti-nantikan oleh pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.

Naib Setiausaha, Pertubuhan Untuk Penambahbaikan Pe­ngangkutan Awam (Transit Malaysia), Cheong Sze Hoong berkata, walaupun ia bukan penyelesaian sempurna namun sudah tentu menunjukkan keutamaan kerajaan dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam.

“Apabila bas tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sudah tentu lebih ramai orang akan menaiki bas berbanding menggunakan kenderaan persendirian.

“Lebih menarik, penambahan lorong khas bas ini akan dilaksanakan di Jalan Cheras, Jalan Ipoh dan Jalan Gombak yang kita ketahui isu kesesakan lalu lintasnya agak kritikal.

“Kami menyambut baik, memang ini yang kami harapkan dan kami gembira apabila perkara ini disebut dalam pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen baru-baru ini memaklumkan, kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi meningkatkan capaian bas di Lembah Klang menerusi penambahan lorong bas khas.

Kata beliau, penambahan lorong bas khas itu melibatkan Jalan Cheras, Jalan Ipoh dan Jalan Gombak iaitu sepanjang 47 kilometer.

Sze Hoong yang juga pengerusi bagi persa­tuan berdaftar iaitu Malaysia Land Public Transport Fans sementara itu berharap aspek penguatkuasaan perlu dipertingkatkan dalam pelaksanaan lorong khas bas ini.

“Ia telah dimulakan di Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang dan juga Jalan Klang Lama sebelum ini dan kami dapati ada kenderaan lain yang turut menggunakan lorong khas bas ini, mereka tidak patuh kepada undang-undang sehingga ada yang berpandangan lorong bas ini tidak berfungsi seperti sepatutnya.

“Kami harap supaya penguatkuasaan perlu diperketatkan sama ada oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ataupun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk buat rondaan supaya inisiatif yang baik dapat berfungsi dengan berkesan.

“Menerusi peruntukan yang ada juga saya lihat boleh ditambah penggunaan kon supaya dapat menghalang kenderaan lain daripada masuk ke lorong khas ini ataupun menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan kenderaan lain yang memasukinya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya