KUALA TERENGGANU: Seorang pemegang ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti Mu’tah di Jordan menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan projek tanaman melon manis Terengganu (MMT) secara hidroponik di Kampung Kubang Parit, di sini.
Ahmad Luqmanul Hakim Ahmad Ahmzad, 23, berkata, walaupun mempunyai kelulusan agama, ia tidak menghalangnya daripada meneruskan minat menjadi petani moden.
Malah, katanya, dia mengikuti beberapa kursus dan latihan pertanian selepas pulang dari Jordan untuk mendapatkan kemahiran mengusahakan projek tanaman MMT secara hidroponik.
Menurutnya, pada peringkat permulaan ini, dia menanam 650 pokok MMT sambil belajar mengendalikan tanaman di kawasan seluas 1,400 meter persegi dan hasil pertama MMT itu akan dituai pada awal November ini.
“Saya terlebih dahulu mendirikan ‘greenhouse’ dan memasang palung hidroponik untuk persediaan menanam MMT, selain membeli benih, baja dan racun,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Parit di sini, semalam.
Ahmad Luqmanul Hakim berkata, ‘greenhouse’ dan palung hidroponik yang disediakan itu dapat menampung sebanyak 2,016 pokok MMT.
Jelasnya, dia akan menambah bilangan pokok MMT secara berperingkat selepas ini.
Pada masa sama, tambahnya, dia juga ingin menanam pokok sayur-sayuran berdaun secara hidroponik di tapak tersebut.
“Bagaimanapun, pokok MTT yang ditanam ini memerlukan penjagaan rapi kerana mudah diserang penyakit dan serangga,” ujarnya. – UTUSAN