Pemodenan aset pertahanan hadapi konflik Laut China Selatan - Utusan Malaysia

Pemodenan aset pertahanan hadapi konflik Laut China Selatan

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) meningkatkan kesiagaan dan pemodenan aset sebagai antara langkah untuk mendepani ketegangan yang semakin meningkat di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi untuk mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan kesiagaan aset berada pada tahap yang optimum dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan di perairan negara.

Kata beliau, terdapat empat pendekatan utama diambil Mindef iaitu termasuk kesiagaan dan pemodenan aset yang melibatkan kapal tempur pesisir pantai (LCS), kapal misi pesisir (LMS) dan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, Sarawak.

“Selain itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah membangunkan pelan pembangunan keupayaan domain laut bagi memperkasakan keupayaan pertahanan dan kapasiti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mencegah sebarang bentuk ancaman di kawasan perairan negara terutamanya di Laut China Selatan.

“Pihak TLDM bersama-sama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga sentiasa melaksanakan rondaan dan pengawasan dengan memperagakan kehadiran di Laut China Selatan.

“Ini bagi memastikan kesedaran domain maritim (MDA) sentiasa berada pada tahap tertinggi serta kedaulatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) sentiasa terpelihara,” katanya di dalam jawapan bukan lisan yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) yang memintanya menyatakan apakah usaha Kerajaan sebagai persediaan mendepani ketegangan semakin meningkat di Laut China Selatan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Mindef turut menjadikan pengukuhan diplomasi pertahanan secara dua hala dan pelbagai hala sebagai salah satu strategi dalam memastikan keselamatan negara dan kestabilan serantau.

“Ini termasuklah memanfaatkan kedudukan dan penglibatan kita dalam ASEAN khususnya melalui libat urus secara konstruktif dengan rakan sejawat melalui platform kerjasama pertahanan dua hala dan pelbagai hala seperti ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) dan ADMM Plus dalam mengendalikan isu-isu keselamatan termasuk keselamatan maritim di Laut China Selatan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya