Pementasan Asy Syura meruntun jiwa

Pementasan Asy Syura meruntun jiwa

ANTARA babak dalam pementasan teater Asy Syura karya agung Tan Sri Johan Jaafar di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pementasan teater Asy Syura berkisarkan konflik kekeluargaan yang memberi 1,001 pengajaran dalam naskhah agung, Tan Sri Johan Jaaffar berjaya meruntun jiwa setiap penonton yang memenuhi segenap ruang Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis di sini, semalam.

Naskah berkenaan berjaya disampaikan dengan penuh penjiwaan oleh para pelakon terkenal terdiri daripada Yaakob Abd. Aziz, Fendy Bakry dan Hairi Safwan selain lakonan cukup berkesan daripada barisan pelakon anak jati negeri ini seperti Noor Hanan, Azam Muhamad, Hafedz, Shahidah, Fathin Salsabella, M.Yushazizi, Aini Nadiah dan Iswani.

Teater yang berkonsepkan realisme mengambil intipati surah Asy-Syura itu berkisarkan mengenai perbalahan adik beradik iaitu Mid, Nin, Odah, Agok dan Ajis yang sering bercanggah pendapat dalam menguruskan tanah pusaka peninggalan arwah bapa mereka.

Malah, salah satu babak antara Agok dan Mid yang dilakonkan oleh Yaakob atau lebih dikenali sebagai cikgu Yaakob itu berjaya membuatkan penonton menitiskan air mata selain pengakhiran pementasan berkenaan yang cukup meninggalkan kesan mendalam.

Pementasan teater Asy Syura oleh JKKN negeri yang diarah dan hasil olahan oleh, Mohd. Khairil Mohd. Salleh itu berlangsung selama dua hari pada 25 dan 26 Oktober.

Program karya agung tersebut merupakan inisiatif Belanjawan 2024 yang diperkenalkan kerajaan bagi mengangkat karya-karya yang diiktiraf di peringkat negeri dan negara.

Ia juga bertujuan menyemarakkan dan mengangkat karya seni, sastera, teater warisan dan karya agung tempatan.

Pengarah JKKN negeri, Norazlin Nordin berkata, sambutan yang diterima sempena dua hari pementasan tersebut di luar jangkaan dengan penonton hadir melebihi kapasiti auditorium.

Katanya, penonton juga memberikan maklum balas yang baik dengan mereka dapat memahami dan menghayati lakonan yang dipersembahkan barisan pelakon hebat itu.

“Sambutan pementasan teater Asy Syura di sini boleh saya kata bagaikan ‘pecah panggung’. Kita lihat ramai yang datang ini orang muda termasuk ibu bapa yang membawa anak untuk menonton teater tersebut. Pementasan teater seperti ini juga mampu memupuk minat orang muda dalam seni teater,” katanya.

Tambah Norazlin, matlamat utama penganjuran pementasan teater berkenaan juga adalah untuk mengangkat dan memperkenalkan karya agung sasterawan negara.

“Dengan mementaskan Asy Syura dalam bentuk teater, ia memberikan penghormatan kepada pengarang dan karya berkenaan sambil memelihara warisan sastera bernilai tinggi untuk generasi masa depan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya