Pembantu peraih ikan ditemukan maut terbaring di ruang tamu rumah - Utusan Malaysia

Pembantu peraih ikan ditemukan maut terbaring di ruang tamu rumah

YUSHARIFUDDIN MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang pembantu peraih ikan ditemui maut di ruang tamu rumahnya di Jalan Jeti Kampung Perak, Kuala Perlis, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar pukul 11 pagi daripada jiran yang memaklumkan lelaki warga emas itu tidak keluar rumah sejak tiga hari lalu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu, anggota dari balai polis Kuala Perlis telah ke rumah tersebut bagi melakukan siasatan berhubung laporan berkenaan.

“Semasa tiba di lokasi, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Perlis turut membantu bagi mengumpil pintu utama rumah itu dan menemui seorang lelaki tidak sedarkan diri dalam keadaan terbaring.

“Pemeriksaan oleh kakitangan Klinik Kesihatan Kuala Perlis turut mengesahkan lelaki terbabit telah meninggal dunia,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yusharifuddin berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis dan telah berkahwin.

Katanya, si mati juga dikatakan tinggal berseorangan malah hasil semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang sejarah rekod rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental.

“Jiran memaklumkan lelaki itu kerap ke Klinik Kesihatan Kuala Perlis kerana mempunyai masalah kesihatan berkaitan asma. Kali terakhir jirannya berbual dengan lelaki itu adalah pada 30 September lalu sekitar pukul 5.30 petang,” katanya.

Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, pintu utama rumah tersebut juga didapati berkunci dan si mati dipercayai telah meninggal dunia di ruang tamu rumah tersebut.

Katanya, lelaki itu juga dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam dan polis mengklasifikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya