JOHOR BAHRU: Seorang pembantu peniaga pasar malam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan yang baru dikenali tiga bulan pada Jun lalu.
Tertuduh, Muhammad Rahmat Abdullah, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Rahmat didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 15 tahun tujuh bulan itu dengan meramas payudara dan menggosok kemaluannya di dalam bilik di sebuah rumah di Kampung Tampok Darat, Benut, Pontian, kira-kira pukul 2 pagi, 29 Jun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum denda, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nurhazneena Zureen Jaesleen Mohamad Hanafiah.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan berjumlah RM15,000 dengan seorang penjamin berserta tiga syarat tambahan, iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Namun, Nurhazneena Zureen Jaesleen memohon jumlah jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya tiada pendapatan tetap dan hanya bekerja sebagai pembantu peniaga pasar malam dengan upah RM200 hingga RM300 sahaja.
“OKT (orang kena tuduh) yang juga anak bongsu daripada dua beradik ini menyara ibunya berusia 72 tahun yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi yang memerlukan ubat secara berkala,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dengan tiga syarat tambahan tersebut serta menetapkan 24 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. -UTUSAN