KUALA LUMPUR: Pemandu teksi di ibu negara didakwa berkomplot dengan sama-sama mengenakan tambang teksi mahal sehingga cecah RM70 bagi perjalanan tidak sampai 10 kilometer.
Aktiviti tersebut banyak berlaku di hadapan pusat beli-belah Suria KLCC di sini dan pemandu tidak menggunakan meter dengan mangsa-mangsa ramai dalam kalangan warga asing.
Alasan pemandu teksi mengenakan caj tinggi dan tidak mengikut meter kerana enggan bersaing sesama sendiri dan tanda protes terhadap perkhidmatan e-hailing yang tidak menggunakan meter seperti teksi.
Tinjauan mendapati, pemandu-pemandu teksi itu mengenakan harga tambang secara rambang dan harganya menjadi lebih tinggi ketika waktu puncak, hujan lebat dan kesesakan lalu lintas luar biasa di ibu negara.
Pemandu teksi boleh terus ‘hidup’ di situ disebabkan ramai pelanggan warga asing termasuk pelancong di sekitar KLCC selain penumpang tiada pengangkutan alternatif walaupun terpaksa membayar dengan harga tidak masuk akal.
Sasaran mereka biasanya adalah penumpang warga asing yang seolah-olah tidak kisah wang mereka ‘diperas’ oleh pemandu teksi asalkan tiba ke destinasi mengikut jadual dan masa perjalanan yang ditetapkan.
Wartawan Utusan Malaysia yang berada di KLCC baru-baru ini merancang menggunakan khidmat teksi turut dikenakan tambang sehingga RM70 (tanpa meter) bagi perjalanan ke Taman Duta di sini. Ketika itu pukul 3 petang, namun membatalkan kerana caj mahal.
Sementara itu, pemandu teksi yang enggan dikenali mengakui tindakan mereka menyalahi undang-undang kerana harga biasa menggunakan meter dalam kadar RM9 hingga RM15.
“Jika kami menghantar penumpang ke mana-mana lokasi, kami tidak dapat sewa dan pulang dengan kosong (pendapatan). Jika mahu teksi pakai meter, syarikat e-hailing juga mesti pakai meter baru adil.
“Mengapa e-hailing pergi sana boleh sahaja harga dalam RM30 hingga RM40? Mengapa kerajaan suruh kami pakai meter? Kalau waktu pejabat boleh cecah RM60 hingga RM70. Sebab itulah e-hailing ini kaya. Maka, kami pun sepakat tetapkan harga.
“Memang apa yang kami lakukan ini salah tetapi, sudah berapa kali kami ke Putrajaya mengharapkan kerajaan memberi maklum balas terhadap isu ini? Kami hanya mahu kerajaan mendengar keluhan pemandu teksi,” luahnya.
Semakan menggunakan aplikasi e-hailing, Grab ketika waktu puncak harga dikenakan RM22 manakala waktu biasa RM8 iaitu kurang daripada harga didakwa pemandu teksi itu.
Seorang lagi pemandu teksi juga enggan dikenali berkata, dia akan mengenakan tambang tanpa meter berharga RM30 hingga RM50 bergantung kepada jarak perjalanan dan keadaan semasa perjalanan.
Katanya, jika menggunakan meter, pendapatan diperoleh tidak berbaloi.
Menurutnya, penetapan harga tambang tidak diseragam menerusi aplikasi e-hailing ‘berat sebelah’ dan merugikan golongan pemandu teksi. – UTUSAN