Pemain industri diminta sedia, JS-SEZ, SFZ bakal rancak sektor pelancongan - Utusan Malaysia

Pemain industri diminta sedia, JS-SEZ, SFZ bakal rancak sektor pelancongan

ONN HAFIZ Ghazi (tengah) bergambar dengan para peserta Larian Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Johor Chapter 2024 di Gateway Garden, Bandar Medini, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI – Pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City bakal merancakkan industri pelancongan di negeri ini selaras dengan Tahun Melawat Johor 2026.

Justeru, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan para pemain industri untuk mempersiapkan diri bagi menyambut jutaan pelancong ke negeri ini dengan menaik taraf kemudahan dan fasiliti serta melatih tenaga kerja bagi memenuhi peningkatan permintaan.

“Kita sedang membuat persiapan untuk Tahun Melawat Johor 2026 dan saya berharap pemain industri bersedia untuk menawarkan perkhidmatan terbaik mereka dalam bidang perhotelan. Sektor pelancongan adalah antara yang paling teruk terjejas semasa pandemik Covid-19 apabila ramai yang hilang pekerjaan dan beberapa hotel ditutup.

“Namun, industri ini kembali membangun dan menjadi antara industri yang paling pesat berkembang di Johor, dan pelancaran SFZ dan JS-SEZ akan mengukuhkan lagi sektor ini,” katanya pada program Larian Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Johor Chapter 2024 di Gateway Garden, Bandar Medini, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar.

Onn Hafiz memberitahu, MAH akan memainkan peranan penting dalam menjayakan misi Tahun Melawat Johor 2026.

“Bilik hotel anda akan menjadi penting pada tahun-tahun akan datang. Jadi, penting untuk semua hotel memberikan yang terbaik dari segi kemudahan dan tenaga kerja bagi mengalu-alukan kemasukan pelancong,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MAH, Lim Choong Sean memuji kepimpinan Onn Hafiz kerana memacu industri dengan mempromosikan tawaran pelancongan Johor.

“Kejayaan industri pelancongan Johor adalah bukti dedikasi beliau. Larian ini bukan sahaja menggalakkan kesejahteraan mental dan fizikal, malah juga mengukuhkan ikatan antara pemain industri di Johor,” katanya.

Beliau berkata, industri perhotelan di Johor terus berkembang dengan bilangan bilik kedua tertinggi di negara  ini berjumlah 18,654 unit selepas Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya