ISKANDAR PUTERI: Legenda Manchester United, Lee Sharpe bakal memeriahkan Johor Golf Expo 2024 (JGE2024) yang julung kalinya diadakan di Senibong Golf Club, di sini esok.
Bekas bintang bola sepak itu dijadualkan bertemu dengan para peminat pada sesi ‘Meet & Greet’ pada pukul 12 tengah hari selama 30 minit sebelum mengambil bahagian dalam cabaran ‘hole-in-one’ di kelab golf itu.
Figura berusia 53 tahun yang juga pengulas sukan itu akan hadir ke majlis pembukaan JGE 2024 yang menarik penyertaan lebih 2,000 pemain golf amatur dan profesional dari dalam dan luar negara.
Kira-kira pukul 6.30 petang, bekas pemain antarabangsa England itu akan berkongsi kisah tentang karier bola sepak dan perjalanannya dalam dunia golf.
Peminat juga berpeluang untuk berjumpa dengan legenda bola sepak ini, bergambar bersama-samanya dan mendapatkan autograf semasa majlis perasmian JGE 2024. – UTUSAN