PASIR MAS: Seorang pelajar tingkatan tiga maut digilis lori apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas selepas gagal memotong kenderaan tersebut di Kampung Gertak Serong, Tendong di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 9.15 pagi itu, mangsa Muhammad Solahuddin Semadi, 15, yang merupakan pelajar sekolah agama di Kubang Kerian dekat sini maut di lokasi kejadian akibat kecederaan para di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan dari Pasir Mas menghala ke Kota Bharu.
Menurutnya, setiba di lokasi mangsa yang berada di belakang lori itu telah bertindak memotong kenderaan tersebut dari arah kiri.
“Semasa cuba memotong lori itu, mangsa telah hilang kawalan lalu terjatuh dan kemudian digilis kenderaan tersebut.
“Pemandu lori terbabit yang berusia 44 tahun yang datang dari arah sama mengakui tidak menyedari kehadiran mangsa sehingga telah menggilis bahagian kepala mangsa,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Kama Azural memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas untuk proses bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkatan Jalan 1987.-UTUSAN