PETALING JAYA : Polis mengesahkan mengenai kejadian seorang pelajar perempuan maut selepas terjatuh dari tingkat lapan di sebuah sekolah yang terletak di ibu negara semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR).
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan meminta orang ramai menghormati privasi mangsa serta keluarganya.
Dalam pada masa sama, sekolah berkenaan dalam satu kenyataan turut mengesahkan dan memaklumkan pihaknya telah bertindak segera sebaik dimaklumkan mengenai kejadian.
Kata kenyataan itu, dalam usaha menyelamatkan pelajar berkenaan, pihak perubatan mengesahkan kanak-kanak itu maut di lokasi kejadian.
“Pihak sekolah mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar terlibat,” jelasnya.
Kenyataan itu memaklumkan, siasatan sedang dijalankan pihak mereka berhubung kejadian yang berlalu.
“Orang ramai digesa supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai kejadian itu,” menurut kenyataan tersebut.