KUALA LUMPUR: Seorang pekerja sambilan tokong mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi dua pertuduhan iaitu menawarkan pelaburan tidak wujud, enam bulan lalu.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh, See Pep Hoor, 66, didakwa dengan niat curang memperdayakan Kok Poh Wan, 54, dengan menawarkan pelaburan yang tidak wujud sehingga mangsa menyerahkan wang RM 215,075 kepada tertuduh yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdayakan olehnya.
Perbuatan itu didakwa berlaku di sebuah tokong di Jalan Ipoh, Sentul di sini di antara 16 Mei dan 13 Jun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, R. Harvind tidak mencadangkan sebarang jaminan namun sekiranya mahkamah membenarkan, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Walau bagaimanapun, peguam bela, CY Yong yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga termasuk ibunya yang berusia 90 tahun.
“Tertuduh tidak bekerja dan hanya mendapatkan hasil pendapatan dari sedekah orang ramai di tokong sahaja,” kata Yong.
Hakim Azrul Darus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 November ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril, Pep Hoor didakwa memperdayakan Phua Siew Lan, 72, dan Tan Eng Khoon, 81, dengan menawarkan pelaburan yang tidak wujud sehingga kedua-dua mangsa menyerahkan wang RM161,500 di sebuah bank cawangan Segambut, Sentul pada 27 dan 31 Mei 2024.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Hamidah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh yang sama (12 November) untuk sebutan semula kes.