Pekerja pembersihan dipenjara tiga bulan selepas curi duit kedai - Utusan Malaysia

Pekerja pembersihan dipenjara tiga bulan selepas curi duit kedai

MUHAMMAD Rafik Asraaf Fauzi (depan) dibawa ke Mahkamah Majistret Rembau hari ini bagi didakwa atas melakukan kesalahan mencuri duit di sebuah premis kedai di Gemas, Tampin awal bulan ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang pekerja pembersihan dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda sebanyak RM800 di Mahkamah Majistret Rembau di sini, hari ini selepas dia mengaku bersalah mencuri duit di sebuah premis kedai di Gemas, Tampin, awal bulan ini.

Tertuduh, Muhammad Rafik Asraaf Fauzi, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan pecah kedai runcit dengan cara masuk melalui loteng bumbung premis dan telah memecahkan siling loteng bagi maksud mencuri wang tunai milik peniaga berumur 56 tahun. 

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2 pagi di sebuah kedai runcit di Bengkel Majlis Daerah Tampin, Taman Halacara Baru Londah, Gemas pada 2 Oktober lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Pegawai Pendakwaan, Inspektor Ali Yaakob Abdullah memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian yang dialami pengadu (mangsa).

Tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Syuhada Mohd Isa merayu hukuman minimum memandangkan ketika jenayah dilakukan dia dalam keadaan terdesak bagi kos pengebumian neneknya.

Menurut tertuduh lagi, dia hanya berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan dan menanggung ibu, bapa, kakak, dua anak buah serta seorang ibu saudara.

Majistret turut menetapkan dua bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membuat bayaran berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman memaklumkan pihaknya telah menerima laporan polis oleh pemilik kedai runcit pada pukul 11.21 pagi, pada 2 Oktober lalu yang menyatakan kedainya telah dipecah masuk dan mengalami kerugian wang tunai lebih kurang RM400.

Menurutnya, suspek ditangkap kira-kira pukul 2.40 petang pada hari yang sama dan hasil semakan rekod jenayah, mendapati suspek memiliki 10 rekod jenayah lampau.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya