Pekerja GISBH tiada rekod caruman Perkeso - Utusan Malaysia

Pekerja GISBH tiada rekod caruman Perkeso

ABDUL RAHMAN Mohamad (tiga dari kanan) menyertai program Fun Walk sempena Program Bandar Bersih Karnival Pahang Bersih Makmur 2024 di Bandar Lama Kuala Lipis di Lipis, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Setakat ini pekerja di bawah kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) tidak mempunyai rekod pendaftaran dan caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang laporan berhubung perkara itu membabitkan pekerja GISBH.

Bagaimanapun katanya, kementerian di bawah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) masih melakukan siasatan berhubung perkara tersebut.

“Kita sebenarnya dalam mesyuarat ‘post kabinet’ lalu, arahan kepada menteri supaya JTKSM menyiasat dan apa langkah-langkah perlu dilakukan dan keputusan hanya diketahui Rabu depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Bandar Bersih: Karnival Pahang Bersih Makmur 202 di Bandar Lama Kuala Lipis di sini semalam.

Abdul Rahman berkata, Kementerian Sumber Manusia tidak pilih kasih malah memberi jaminan bekas pekerja GISBH yang hilang pekerjaan menikmati bantuan kewangan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) jika mencarum dengan agensi berkenaan.

“Semua pekerja di negara ini yang mencarum akan dilindungi dalam tempoh tertentu bagi membela nasib mereka sehingga mereka mendapat pekerjaan baharu,” katanya.

Sebelum ini, pada 8 September lalu, Mahkamah Buruh di Johor memerintahkan GISBH membayar RM23,100 kepada bekas pekerjanya yang tidak dibayar gaji sepanjang bekerja dengan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN