PETALING JAYA: Pekerja ekonomi gig p-hailing dan e-hailing berharap kerajaan memberi fokus kepada sektor itu dengan menetapkan kadar upah selain memperjuangkan kebajikan mereka.
Ini kerana selepas pandemik Covid-19, sektor ekonomi gig terutama p-hailing untuk makanan merosot teruk manakala kadar upah setiap pesanan semakin murah.
Di Kuala Terengganu, pemandu e-hailing, Yusof Abu Bakar, 44, berkata, kerajaan perlu memfokuskan kadar upah yang setimpal dengan keringat dicurahkan pekerja gig ekonomi demi kemakmuran negara.
Katanya, situasi sekarang seolah-olah menekan pemandu e-hailing kerana kadar upah agak murah berbanding ‘zaman keemasan’ bidang tersebut suatu ketika dahulu.
“Sekarang sudah terlalu ramai pemandu e-hailing menyebabkan kek ekonomi semakin kecil dengan kadar upah yang murah.
“Saya berharap kerajaan dapat memperkenalkan satu inisiatif baharu dengan mengadakan perbincangan bersama syarikat e-hailing untuk meningkatkan kadar upah pemandu agar kami mampu hidup lebih selesa pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Di Seremban, penghantar makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Fairuz, 48, memberitahu, selain kadar bayaran, kehadiran ramai penghantar makanan sambilan turut memberi kesan kepadanya yang bekerja sepenuh masa.
“Ditambah dengan kadar bayaran rendah, kami terpaksa bekerja lebih masa untuk dapatkan gaji yang berbaloi. Dahulu, kami boleh dapat sehari sehingga lebih RM100 dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
“Namun sekarang, untuk dapat jumlah tersebut, kami perlu bekerja lebih masa malah sehingga pukul 11 malam,” katanya.
Di Johor Bahru, penghantar makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Don, 52, mengakui hanya memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan bergantung dengan berapa banyak penghantaran yang dapat dilakukannya.
“Sebagai penghantar makanan, tahap keselamatan mesti diutamakan dan syarikat mestilah memahami pekerja walaupun kami bukanlah pekerja mereka, hanya penghantar makanan,” ujarnya.
Di Sungai Petani, sebahagian besar pekerja ekonomi gig berkemungkinan terpaksa beralih bidang kepada kerjaya lain ekoran tidak lagi meraih pendapatan berbaloi seperti awal-awal terlibat dalam industri itu.
Penghantar barangan, Hafiz Zulkifli, 36, berkata, pemansuhan gaji asas oleh syarikat dia bekerja iaitu sebanyak RM1,500 sebulan menyebabkan dia kini terjejas teruk untuk menyara hidup.
“Dulu kami diberi gaji asas yang boleh menampung pendapatan selain turut memperolehi komisen sebanyak 70 sen bagi setiap barangan yang dihantar,” jelasnya. – UTUSAN