Peguam PU Azman kemuka representasi - Utusan Malaysia

Peguam PU Azman kemuka representasi

PU Azman yang memakai baju-t penjara berwarna putih dan berkopiah hitam dilihat tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban menaiki van Penjara Kajang.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak pembelaan yang mewakili penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan kes pertuduhan melakukan amang seksual fizikal.

Peguam, Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 41, berkata, surat representasi itu dikemukakan sesuai dengan keadaan terkini anak guamnya.

“Saya telah diarahkan anak guam untuk membuat satu surat representasi kepada AGC dengan tujuan berdasarkan situasi terkini iaitu anak guam sekarang yang berada di penjara dan sedang menjalani hukuman.

“Saya mohon satu tarikh sebutan ditetapkan kerana surat ini juga akan melibatkan kes-kes lain (PU Azman) di mahkamah lain,” katanya pada prosiding di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tujuan representasi tersebut.

Terdahulu dalam prosiding di hadapan Hakim, Datin Surita Budin, Mohamad Zahid memaklumkan telah menghantar surat kepada mahkamah untuk penangguhan perbicaraan yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 11 Oktober ini.

Mahkamah membenarkan penangguhan perbicaraan bagi tarikh berkenaan dan memberi tempoh seminggu kepada pihak pembelaan untuk menghantar representasi.

Surita kemudian menetapkan 27 November depan untuk sebutan keputusan representasi dan status penelitian kertas siasatan.

Sebelum itu, PU Azman kelihatan tenang ketika masuk ke kamar mahkamah dengan memakai baju-t penjara berwarna putih.

Ini merupakan kali pertama PU Azman dilihat selepas dimasukkan ke Penjara Kajang pada 27 September lalu bagi menjalani hukuman 24 tahun penjara dan dua sebatan.

Selain itu, mahkamah turut memberi kebenaran kepada keluarga PU Azman untuk berjumpa dengannnya selepas prosiding selesai dalam kamar mahkamah.

Di Mahkamah Sesyen Seremban di sini, PU Azman berdepan lima pertuduhan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai 2022.

Kesalahan itu dilakukan di rumahnya di Taman Tiara Sendayan di Nilai di sini.

Sementara itu, Mohamad Zahid ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memaklumkan, anak guamnya telah memfailkan rayuan kes di Mahkamah Klang berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya.

“Apa yang saya boleh maklumkan yang anak guam saya berada dalam keadaan baik, dijaga dengan baik dan dia hanya maklumkan doakan dia saja,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan pada 24 September lalu, PU Azman dihukum penjara 24 tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen Klang atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun lalu dua tahun lalu.

Mahkamah turut memerintahkannya menjalani kaunseling di penjara, selain pengawasan polis selama dua tahun selepas tertuduh tamat hukuman.

Berdasarkan dua pertuduhan itu, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, Klang masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun 2022.

Dia justeru didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya